MAFS, DOF pergiat penyetaan pekerja tempatan
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) giat berusaha untuk meningkatkan penyertaan pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor perikanan tangkapan melalui pelbagai inisiatif dan latihan kepada anak-anak tempatan.
Dalam masa yang sama, kebenaran diberikan kepada pengusaha vesel perikanan yang bermuatan 40 Gross Register Tonage (GRT) ke atas untuk menggunakan tenaga kerja asing, khususnya vesel pukat jerut bilis, vesel zon C (beroperasi lebih 12 batu nautika dari pantai), zon C2 (lebih 30 batu nautika) dan zon C3 (menangkap ikan tuna di Lautan Hindi).
Prosedur kebenaran yang diberikan oleh DOF selama ini adalah berdasarkan peruntukan seksyen 10(1)(c) Akta Perikanan 1985, dengan syarat nelayan asing itu memiliki pasport sah daripada negara asal. Berdasarkan statistik tahun 2022 (sehingga November), terdapat 10 ribu nelayan asing yang bekerja di atas 3,000 buah vesel perikanan tempatan yang berlesen di seluruh negara.
MAFS mengunjurkan keperluan kru nelayan asing bagi tahun 2023 (Suku Pertama) di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 17,486 orang.
Sehingga kini, seramai 10,063 orang kru nelayan asing telah lulus Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Secara keseluruhan, keperluan kru nelayan asing di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan adalah seramai 24,549 orang.
Untuk makluman, kelulusan penggajian nelayan asing adalah tertakluk kepada Seksyen 60K, Akta
Kerja 1955.
Untuk rekod, selaras dengan pewartaan Perintah Pasport (Pengecualian) (No. 2) (Pindaan) 2021 dan Perintah Imigresen (Pengecualian) (Pindaan) 2021 pada 28 Mei 2021, kru nelayan asing wajib mempunyai PLKS sepenuhnya pada 1 Januari 2022.
Ini bertujuan untuk mengelakkan laut dijadikan laluan utama kemasukan warga asing ke dalam negara.
Antara usaha Kerajaan melalui kerjasama MAFS dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), DOF dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membantu pengusaha vesel perikanan tempatan dalam pelaksanaan PLKS kru nelayan asing ialah;
- Mengurangkan kadar bayaran PLKS daripada RM1,850 seorang/setahun bagi sektor perkhidmatan kepada RM320 seorang untuk sektor pertanian bagi tempoh enam (6) bulan pertama,
- Menetapkan kelayakan had umur nelayan asing sehingga 60 tahun bagi permohonan pertama kali masuk ke dalam negara. Pengecualian ini diberi khusus kepada sektor perikanan tangkapan.
DOF menyambut baik penguatkuasaan PLKS ini kerana ia dapat meningkatkan keselamatan negara melalui pemutihan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk tenaga kerja di dalam sektor sekuriti makanan negara.