Nasional

KBS dan KPM senada dengan MAVA, batalkan lesen jurulatih tampar dua pemain

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) senada dengan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) untuk membatalkan lesen jurulatih yang menampar dua pemain dalam kejadian baru-baru ini.

Sebagai langkah awal, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata jurulatih yang juga seorang guru itu tidak lagi dibenar menjadi jurulatih sukan terbabit, termasuk bagi murid.

Katanya, MAVA juga sudah menarik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap Satu (Sukan Spesifik) jurulatih berkenaan.

“Jurulatih itu belum pernah membuat permohonan lesen kejurulatihan Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sebagai pengiktirafan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) seperti dipersetujui bersama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara (ISN) dengan persatuan sukan kebangsaan.

“KBS dan KPM tidak akan sesekali berkompromi dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya mereka yang masih muda.

“Aspek keselamatan amat dititikberatkan daripada keadaan yang mampu memudaratkan pembangunan masa depan negara.

“Majlis Sukan Negara dan MAVA sudah memuktamadkan siasatan yang mana secara sebulat suara memutuskan jurulatih bola tampar itu hilang kelayakan menjadi jurulatih,” katanya pada sidang media bersama KBS dan KPM di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Hannah berkata, KBS sudah mengarahkan AKK ISN memastikan pelaksanaan peraturan mewajibkan jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan sebagai pengiktirafan SPKK setiap dua tahun, dapat diperketatkan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, siasatan KPM berhubung insiden itu selesai dijalankan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh mengambil tindakan sewajarnya, selaras Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Katanya, siasatan dibuat secara menyeluruh membabitkan semua pihak berkaitan merangkumi jurulatih, murid, rakan sepasukan, guru, pengurus pasukan, saksi kejadian dan ibu bapa pemain terbabit.

Katanya, KPM meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan itu dari pelbagai sudut khususnya etika serta imej kerjaya guru.

“Selaras peraturan itu, JPN boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan perkara tidak wajar, melanggar peraturan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan pertikaian oleh masyarakat melalui aspek keselamatan diterapkan guru terhadap murid.

“Insiden itu membuka mata wujud keperluan mewajibkan jurulatih kepada murid menjadi sebahagian daripada SLKK dan SPKK.

“KPM akan bekerjasama rapat dengan ISN bagi melengkapkan jurulatih kepada pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan.

“Ini penting bagi menyediakan persekitaran sihat dan selamat, saling menghormati serta bebas sebarang bentuk gangguan dan penderaan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button