Puteri Sarah nekad failkan cerai Isnin depan
BELUM habis lagi ‘sinetron’ rumah tangga pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof dengan Puteri Sarah.
Isnin depan, Sarah mengesahkan dia akan memfailkan tuntutan cerai di mahkamah.
Hasrat Sarah sememangnya tidak mendapat bantahan daripada Syamsul yang sudahpun bernikah baru.
Apa kan daya Sarah, rumahtangga yang dibina selama lapan tahun dan selama itulah dia bergelar menantu sutradara yang dihormati ramai, Datuk Yusof Haslam, akhirnya ikatan perkahwinan itu akan terlerai.
Permohonan cerai Isnin depan akan dikemukan melalui Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sarah.
Syamsul yang cuba play victim menerusi satu rakaman video dengan mendedahkan antara dia dan Sarah masih ada komunikasi.
Dan dia (Syamsul) juga memberi duit kepada anak-anak melalui orang tengah, kononnya mahu berbincang dengan Sarah berkaitan dengan hidup bermadu.
Dalam rakaman video yang sama juga Syamsul mendedahkan dia dimaki oleh Sarah.
“Nak orang gaji, saya sediakan dua orang gaji untuknya. Nak duit, saya bagi…,” kata Syamsul.
Puteri Sarah bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan bahawa Syamsul menyekatnya dari dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.
Sarah juga dengan jelas menyatakan dia tidak sanggup dimadukan.
Sarah mendakwa, Syamsul gagal menjadi ketua keluarga! – SM