NegeriSukan

Perlis perkukuh Liga Bola Sepak Perlis tahun hadapan

KERAJAAN negeri Perlis bakal memperkukuhkan penganjuran Liga Bola Sepak Perlis 2023 (LBSP23) pada tahun hadapan ekoran kejayaan LBSP22 yang lalu.

Muhammad Azmir Azizan

Exco Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, penganjuran LBSP22 dari Februari hingga Mac lalu telah melibatkan 400 anak muda di mana ia sebagai platform bagi mengembangkan bakat sukan ini selain diberi pendedahan menguruskan pasukan dan liga secara profesional mengikut standard setaraf liga anjuran Amatuer Football League (AFL).

“LBSP23 ini nanti akan diperkukuhkan dengan beberapa inisiatif tambahan antaranya liga ini akan diberi nafas baharu dengan permohonan kebenaran rasmi daripada pihak AFL untuk diiktiraf sebagai Liga M5,” katanya menjawab soalan Gan Ai Ling (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Indera Kayangan).

Muhammad Azmir berkata demikian pada Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN di Persiaran Wawasan di Kangar.

Katanya, ini akan membolehkan LBSP23 diiktiraf dan dijalankan secara rasminya di bawah pemantauan AFL yang merupakan badan induk yang diberi kuasa menguruskan liga di peringkat amatur.

Related Articles

Katanya, pengiktirafan ini juga akan memberi peluang kepada pasukan yang bermain di liga ini untuk mendapatkan tempat bersaing di Liga M4.

Selain itu, katanya penganjuran LBSP23 akan disediakan format pertandingan yang lebih baik dalam usaha memberi lebih peluang bermain kepada pasukan dengan jumlah pasukan juga akan ditambah.

“Aspek penajaan liga juga akan diperkukuhkan melibatkan syarikat tempatan yang akan diberi peluang dalam platform pemasaran sepanjang tempoh liga berlangsung,” katanya.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan liga dianjurkan dengan lebih baik maka aspek fasiliti dan kepengadilan akan diberi perhatian yang lebih baik.

“Lain-lain aspek pengurusan liga dan standard liga yang telah diberi perhatian sebelum ini akan dikekalkan dan ditambah baik seperti pentadbiran kewangan, pendaftaran pasukan, pasukan perubatan, caruman insurans, keurusetiaan liga, teknikal permainan, liputan media dan kawalan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, bagi perkembangan sukan bola sepak di Perlis di peringkat awal, Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) telah dilaksanakan.

“Terdapat dua Akademi Tunas (AT) untuk pemain berusia 12 tahun kebawah iaitu AT Arau di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah dan AT Kangar di SK Behor Empiang,” katanya.

Muhammad Azmir berkata, setelah pemain berusia 13 tahun, terdapat tiga Pusat Latihan Daerah (PLD) disediakan.

Katanya, pusat terbabit adalah PLD Kangar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SM) Syed Alwi, PLD Arau di SMK Syed Sirajuddin dan PLD Padang Besar di SMK Datuk Jaafar Hassan.

Tambahnya, hasil daripada pembangunan akar umbi ini, seramai tiga pemain muda telah diserapkan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Pahang pada tahun ini dan menjadikan sehingga kini, seramai 11 orang pemain Perlis telah berada di AMD. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button