Wujudkan rumah transit bantu ibu tunggal hilang tempat berteduh
Satu inisiatif untuk menyediakan rumah transit atau kediaman sementara pada ibu tunggal yang dilanda musibah perlu dilakukan oleh kerajaan negeri demi kebajikan mereka.
Ini sebagai bantuan segera kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal secara tiba-tiba.
Musibah yang berlaku misalnya kerana kehilangan ketua keluarga sebab kematian, dilanda musibah, perceraian dan ketua keluarga tidak bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, inisiatif rumah transit ini amat perlu bagi menempatkan golongan berkenaan yang tiada tempat berteduh.
Katanya, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan ada kes ibu tunggal dan anak-anak terpaksa tinggal di dalam kereta selama beberapa minggu setelah kehilangan tempat tinggal.
“Begitu juga keluarga miskin yang dihalau dari rumah sewa dan tidak ada tempat berteduh.
“Jadi, inisiatif kerajaan untuk menyediakan rumah transit bagi golongan berkeperluan ini amat diharapkan dalam membantu mereka yang memerlukan rumah transit bagi tempoh tertentu.
“Jika boleh kerajaan negeri wujudkan program rumah transit ini di setiap daerah dalam negeri Perak,” ujarnya ketika ditemui.
Terdahulu, inisiatif rumah transit ibu tunggal ini disuarakan Norhaslinda pada sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak Ke-15 hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, inisiatif yang diperkenalkan ini sebagai langkah awal membantu kelompok ibu tunggal tersebut.
Jelasnya, mereka yang terpilih akan menginap secara sementara sebelum mampu menyewa kediaman lain setelah kehidupan kembali stabil.
“Kerajaan negeri juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti untuk menguruskan unit-unit kediaman tersebut serta mengenal pasti golongan yang terkesan,” ujarnya.
Inisiatif serupa yang boleh diperkenalkan ialah menyebabkan pusat jagaan atau bantuan pembiyaan anak-anak di pusat jagaan bagi ibu tunggal.
Ia khusus pada golongan ibu tunggal yang tidak berkemampuan ingin keluar bekerja untuk mencari nafkah, namun terpaksa meninggalkan anak-anak.
“Inisiatif pusat jagaan atau bantuan pembiyaan anak-anak di pusat jagaan bagi golongan tidak berkemampuan ini adalah amat diperlukan terutamanya sebagai galakan ibu tunggal untuk berdikari dengan keluar bekerja.
“Dengan cara itu mereka tidak hanya bergantung kepada bantuan daripada agensi kerajaan semata-mata atau mengharapkan ihsan orang ramai,” ujar beliau.