Argentina tamat penantian 36 tahun julang Piala Dunia
Argentina menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang Piala Dunia buat kali ketiga apabila menewaskan juara bertahan, Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi penuh dramatik mengheret ke masa tambahan berkesudahan 3-3, di Stadium Lusail lewat pagi tadi.
Dua watak utama Lionel Messi dan Kylian Mbappe menjadikan aksi akhir itu bagaikan sebuah drama penuh emosi tinggi dipamerkan kedua-dua pasukan itu menamatkan kejohanan paling menjadi tumpuan empat tahun sekali itu diakhiri dengan penentuan sepakan penalti.
Perancis mempamerkan aksi paling mantap setelah dua kali ketinggalan namun pemenang kasut emas Piala Dunia 2022, Mbappe itu menjadi penyelamat apabila meledakkan jaringan hatrik.
Penyerang utama Perancis itu muncul pemain kedua selepas pemain England, Geoff Hurst pada Piala Dunia 1966 meledakkan jaringan hatrik pada perlawanan akhir.
Dalam aksi di stadium yang dipenuhi kedua-dua penyokong itu menyaksikan Argentina mendahului juara bertahan, Perancis 2-0 pada babak pertama menerusi sepakan penalti ketua pasukan Messi diikuti jaringan kedua pada minit ke-36 oleh Angel Di Maria.
Perancis terpaksa menunggu hingga minit ke-80 untuk merapatkan kedudukan selepas Mbappe menyudahkan sepakan penalti. Seminit selepas itu dia berjaya meledak gol penyamaan mengikat kedudukan 2-2 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Messi sekali lagi meletakkan Argentina di depan pada minit ke-109, sebelum Mbappe sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-118.
Dalam penentuan sepakan penalti, penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menyelamatkan percubaan Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni.
Pemain pertahanan, Gonzalo Montiel memastikan kemenangan milik pasukannya apabila menyempurnakan sepakan penalti keempat dengan tenang menyepak masuk ketika penjaga gol Perancis, Hugo Lloris merebahkan badan ke arah yang salah.
Sudah pasti Messi adalah orang paling tersenyum lebar beraksi dalam perlawanan kali ke-26 sepanjang aksi Piala Dunia yang disertainya dalam usia 35 tahun akhirnya dia mendakap gelaran tersebut.
Aksinya sehebat bintang tersohor, Diego Maradona yang menggepalai kejayaan Argentina ketika menjulang Piala Dunia pada 1986. Sebelum ini mereka memenangi kejuaraan Piala Dunia buat pertama kali pada 1978.
Begitupun laluan penuh berliku diharungi Messi dan rakannya apabila dikejutkan dengan kekalahan mengejutkan 1-2 kepada pasukan bukan pilihan Arab Saudi dalam aksi pertama Kumpulan C.
Selepas dikejutkan dengan kekalahan paling memalukan itu Argentina bangkit semula menewaskan Mexico 2-0 dan Poland 2-0 untuk layak dalam kelompok 16 pasukan muncul juara Kumpulan C.
Dalam saingan 16 pasukan, Argentina mudah mengetepikan Australia 2-1 untuk layak ke suku akhir.
Begitupun saingan getir berdepan Belanda di suku akhir dengan keputusan seri 2-2 namun menang dengan keputusan 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.
Di separuh akhir pasukan itu berjaya mengetepikan cabaran Croatia 3-0 untuk melangkah ke perlawanan akhir bertemu penyandang juara, Perancis.
“Saya ingin mengakhiri karier dengan kejayaan ini kerana sebelum ini yang saya terlepas kerana tidak ada apa yang lebih penting,” ujar Messi yang sudah beraksi sebanyak 172 kali menyarung jersi Argentina.
“Saya boleh menjulang Piala Copa America dan sekarang untuk menjulang Piala Dunia adalah sangat sukar ketika di penghujung karier. Saya cintakan bola sepak dan akan terus beraksi dalam beberapa perlawanan lagi sebelum bergelar juara,” ujarnya. – SM