Johari Abdul speaker Dewan Rakyat yang baharu
KUALA LUMPUR 19 Dis. – Proses pengundian bagi memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat bermula selepas terdapat dua pencalonan daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Pengundian dibuat dengan Ahli Parlimen mengisi nama calon pada kertas undian yang diedarkan kepada mereka.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukan cadangan mencalonkan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Difahamkan pemilihan Speaker atau Yang Di Pertua Dewan Rakyat sebentar tadi menyaksikan calon Kerajaan mendapat undi sebanyak 147, manakala calon Pembangkang mendapat undi sebanyak 74 undi. Seorang Ahli Parlimen tidak hadir.
Pemilihan Speaker adalah aturan pertama dalam Sidang Dewan Rakyat yang boleh dianggap juga sebagai ‘implied vote of confidence’ atau suatu bentuk undi percaya yang bersifat tersirat. Secara asasnya, tiada keperluan untuk mengadakan Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun YAB Perdana Menteri tetap mahu mengadakan Usul Undi Percaya yang dijangkakan akan berjalan di sebelah petang selepas aturan sidang mengangkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen.