MANGGA ikon Perlis, harumanis yang menjadi kebanggaan rakyat negeri ini terus diperkemas dari segi kualiti, pemasaran dan pengedarannya bagi menjaga imejnya.
Terbaharu, mangga ini bakal dijenama “Kayangan Harumanis” oleh Kayangan Agro Farm Sdn. Bhd. yang telah diberikan kepercayaan oleh kerajaan negeri sebagai rakaniaga eksklusif pemasaran dan pengedaran buah ini mulai tahun depan.
Kayangan Agro Farm juga akan bekerjasama dengan 63 petani ladang kelompok di negeri ini bagi mencapai sasaran pemasaran sejuta kilogram (1000 metrik tan) mangga Harumanis.
Berikutan itu diadakan majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pemasaran dan Pembangunan Industri Mangga Harumanis Perlis di antara Jabatan Pertanian Negeri Perlis dan Kayangan Agro Farm Sdn. Bhd.
Jabatan Pertanian diwakili Pengarahnya, Hafizuddin Othman manakala Kayangan Agro Farm Sdn. Bhd. oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Farid Md Yusof yang disaksikan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Razali Saad yang mewakili Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Hafizuddin berkata, Kayangan Agro Farm akan menguruskan segala aspek pemasaran dan pengedaran “Kayangan Harumanis”.
“Usahasama ini akan berkuatkuasa selama tiga tahun dengan opsyen untuk dilanjutkan lagi untuk dua tahun,” katanya.
Mohd Farid berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengeksport harumanis ke negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
“Kayangan Agro Farm juga akan menumpukan kaedah jualan “preorder” melalui platform e-dagang kami di mana ia akan dilancar Januari depan,” katanya.
Jelas Mohd Farid selain akan memberi fokus pada kualiti pengeluaran mangga, pihaknya bercadang menjaga kebajikan petani kelompok.
Katanya, petani akan diberikan perlindungan insurans, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan kerjasama dengan Agro Bank bagi kemudahan pembayaran.
Sementara itu, Razali semasa berucap berkata, dijangka pengeluaran harumanis pada tahun depan sebanyak 3,600 metrik tan yang melibatkan keluasan tanaman 1,200 hektar.- SM