Nasional

Mujahid- ikon inklusiviti yang disalah erti

oleh ALI MUDA

Berenang melawan arus perdana kebencian kaum bukanlah mudah. Ia sangat memenatkan kerana pihak lawan bergabung menolaknya ke belakang. Rakan yang lemah dan belum memahami perjuangan juga bisa hanyut bersama arus perdana dan memberi tekanan yang tidak sedikit supaya jangan melawan arus kalau mahu terus hidup.

Mengenali Dr. Mujahid Yusof bukanlah seorang yang mudah mengalah. Daripada seorang budak sekolah aliran Inggeris Penang Free School yang tak tahu sepatah bahasa Arab, beliau pergi ke Mesir untuk bersekolah di sana dan melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa dan sastera Arab di Universiti al-Azhar, Kaherah.

Beliau membuktikan keupayaan berbahasa Arab mengatasi siswa yang mempelajarinya sejak di bangku sekolah. Dengan asas pendidikan Inggeris sejak awal, kepetahannya dalam bahasa Inggeris dicemburui ramai agamawan.

Perjuangan menobatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin bukanlah baharu dalam kamus kehidupannya. Sejak berjuang sebagai politikus dalam PAS lagi beliau telah membawa fikrah mesra kepelbagaian dan menolak faham perkauman Umno dan prejudis agama dalam PAS sendiri.

Apabila dilantik menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) atas kerusi Amanah, beliau terus melancarkan tiga gagasan ke arah Malaysia Negara Rahmah iaitu gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.

Di peringkat ini, gagasan Rahmah yang dibawa Mujahid mendapat tentangan yang hebat daripada parti lamanya PAS dan gabungan muafakat yang korup dan pekat kemelayuannya, Umno. Tidak ketinggalan beliau diserang hebat oleh rakan-rakan sepengajiannya di Mesir, iaitu para pimpinan dan agamawan Ikatan Muslimin Malaysia atau Isma.

Beliau diserang sebagai pembawa faham liberal yang membenarkan maksiat peribadi dilakukan oleh umat Islam, dikritik pedas kerana mengatakan Islam menjaga semua agama, dituduh pengkhianat bangsa dan agama kerana dilihat banyak menyebelahi atau bersikap lunak dengan DAP, sebuah parti liberal demokratik pelbagai kaum.

Dalam isu tulisan Jawi, mempertahankan tanglung daripada diturunkan di sebuah sekolah dan sambutan Ponggal di sekolah, beliau dilabel sebagai sangat meraikan orang kafir berbanding menjaga akidah umat Islam. Akibatnya banyak kali beliau dituduh kafir atau munafik.

BACA ARTIKEL: Dengan profil yang hebat, Mujahid perlu terima pelawaan berdialog

Lantaran tidak mempertahankan Dr Zakir Naik untuk kekal memberi ceramah perbandingan agama secara terbuka, beliau menambah deretan musuh sedia ada dengan musuh baru pengkagum Zakir, iaitu Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali Dr Maza dan para pengikut setianya.

Hubungan kesalafian yang nyata seperti akidah tuhan berada di langit sangat memotivasikan Dr Maza untuk menobatkan DZN sebagai wira umat Islam yang wajib dipertahankan kebebasannya berceramah di bumi Malaysia.

Namun tidak bagi Mujahid, kerana beliau melihat pendekatan Zakir sangat provokatif dan membuka ruang respon balas keras daripada penganut agama lain. Beliau berpendapat Zakir tidak menuruti jalan sunnah dalam berdakwah, di mana Rasulullah SAW melakukan kebaikan dan hubungan kemanusiaan selama puluhan tahun sebelum bangun mengajak kaumnya meninggalkan agama nenek moyang mereka.

Hal ini tidak dilakukan Zakir melainkan beliau terus bangun mencabar dan berhujah secara terbuka dengan penganut agama lain. Bagi Mujhaid, pendekatan itu bukanlah pendekatan yang selari dengan tuntutan hikmah dan nasihat yang baik dalam berdakwah (Surah al-Nahl: 125).

Persoalannya, adakah benar Mujahid adalah seorang pembelot agama, pengkhianat bangsa, penggadai akidah umat, munafik atau kafir akibat pendirian dan gagasannya yang dilihat lebih meraikan orang-orang kafir?

Sikap memberi hak dan keadilan kepada manusia tanpa mengira kaum dan kepercayaan bukanlah sikap baharu dalam Islam. Pada tahun ke sembilan Hijrah, diberitakan sekumpulan 60 orang paderi dan biskop kaum Kristian Najran telah datang menemui Rasulullah SAW dalam masjid baginda selepas waktu Asar untuk berhujah dengan baginda tentang ketuhanan Isa bin Maryam.

Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka bangun mengerjakan sembahyang menurut agama mereka. Para Sahabah baginda cuba menghalang tetapi baginda mengizinkan mereka melakukannya lalu mereka pun sembahyang menghadap ke arah timur.

Kisah ini disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir 2/41 dan al-Bidayah wa al-Nihayah 3/51, al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah 5/382, al-Dzahabi dalam Tarikh al-Islam 2/695 dan Siyar A’lam al-Nubalaa 2/285 dan Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad 3/629, 638 dan beliau mensahihkan riwayat tersebut dalam Ahkam Ahli al-Dzimmah 1/187.

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab (13-23 Hijrah / 634-644 masehi), beliau pergi melawat gereja yang terkenal dengan nama Kanisat al-Qiyamah atau Church of Holy Sepulchre yang terletak di Syam (sekarang Old City of Jerusalem).

Ketika berada di dalam gereja itu, waktu sembahyang pun masuk. Paderi gereja meminta Umar menunaikan sembahyang di dalam gereja itu. Ketika Umar hampir memulakan sembahyang, beliau meminta maaf daripada paderi kerana khuatir umat Islam akan menganggap khalifah telah mengambil alih gereja itu menjadi milik umat Islam jika beliau sembahyang di dalamnya.

Beliau pun meminta izin keluar ke muka pintu gereja dan menunaikan sembahyang di atas pankin di tepi pintu gereja. Selepas peristiwa itu Umar menulis wasiat kepada umat Islam bahawa mereka tidak boleh menunaikan sembahyang di tempat beliau sembahyang melainkan secara bersendirian (tidak berjemaah) dan tanpa laungan azan.

Kisah ini disebutkan oleh Ibn Khaldun dalam Tarikh Ibn Khaldun 2/225, Al-Tabari dalam Tarikh al-Tabari 4/167 seperti dinyatakan dalam buku bertajuk Huquq Ghayri l-Muslimin fi Mandzur Islami, terbitan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyah al-Azhar al-Syarif, 2019, muka surat 10.

Fenomena pertarungan yang paling sengit sesama penganut agama Kristian telah berlaku di antara pengikut Kristian Katholik Rom dan Kristian Koptic Mesir pada kurun keenam dan ketujuh masehi. Masing-masing mengkafirkan pengikut berlainan mazhab.

Percubaan Maharaja Hercules (610 – 641M) untuk menyatukan pelbagai mazhab Kristian ini ditentang oleh pengikut Kristian Koptic Mesir. Penentangan itu membawa kepada penderaan yang dahsyat selama sepuluh tahun.

Ada di antara penganut agama Kristian Koptic diseksa seperti dipanggang di atas api sehingga mengalir lemak badan ke tanah dan ada tahanan yang dimasukkan ke dalam guni berisi pasir dan dihumban ke laut (Al-Nadawi, Madza Khasira al-‘Alam binhitaati al-Muslimin: 30)

Menurut Dr Muhammad ‘Imarah (dalam Haqaiq wa Syubuhat hawla al-Samahah al-Islamiyah wa Huquq al-Insan, 2010: 19), penindasan Kristian Roman Katholik ke atas Kristian Koptic Mesir menyebabkan penganut mazhab Koptic Mesir melarikan diri ke Sahara, gurun dan gua. Ketua Gereja Koptic, Patriach Benjamin (memimpin mazhab Koptic Mesir di antara tahun 623 – 662M) telah melarikan diri selama 13 tahun.

Panglima Islam yang membuka Mesir, ‘Amru bin al-’As (574 – 664M) telah mengetahui kisah penindasan itu melalui pembantu Benjamin yang bernama Pope Sanotius.

Amru telah menulis surat siaran ke seluruh pelusuk Mesir untuk memanggil Benjamin balik. Mengetahui tawaran Amru, Benjamin balik dan beliau pun dibawa mengadap Amru oleh Sanotius. Amru menyambut dan sangat memuliakan Benjamin, memberinya jaminan keamanan dan kebebasan mentadbir gerejanya yang telah diambil semula daripada taklukan puak Kristian Katholik oleh panglima Islam Amru bin al-’As.

Hal ini juga disebutkan oleh Dr Sayyidah Ismail Kasyif dalam bukunya Misr fi Fajri al-Islam (diterbitkan pertama kali pada 1947 dan diterbitkan semula oleh al-Haiah al-Misriyyah al’Ammah lil Kitab pada 1994: muka surat 187-188) bersumberkan catatan sejarawan Arab Kristian bermazhab Koptic Ortodok, Severus bin al-Muqaffa’ dalam bukunya Siyar al-Aabaa’ al-Batarikah, diterbitkan di Paris 1907.

Menelusuri sejarah Islam dan praktik hubungannya dengan penganut agama lain sebagaimana yang diterjemahkan sendiri oleh Rasulullah SAW dan para Sahabah yang dididik dengan Islam yang sebenar telah membuka lembaran keterbukaan dan toleransi yang tiada tolok bandingnya.

Namun kejahilan umat Islam sendiri (termasuk sebahagian besar para ulama tempatan) terhadap ajaran agama mereka telah memesongkan mereka daripada akhlak yang mulia, menolak sikap yang sederhana, anti kepelbagaian, bersifat eksklusif sesama kaum atau puak sendiri.

Malah jika kita membedah dan membelah lipatan-lipatan sejarah perkembangan Islam yang masih tersimpan kemas, sudah pasti kisah-kisah yang disebutkan tadi hanyalah sekelumit cuma.

Masih banyak lagi kisah toleransi keagamaan yang menjadi rahsia kepada umat Islam sendiri, lantas mereka menghukum orang yang cuba menterjemahkannya dalam kehidupan bernegara sebagai pengkhianat agama atau lebih meraikan orang-orang kafir.

Teruskan YB Mujahid melangkah bersama gagasan emas Rahmatan Lil Alamin demi sebuah negara rahmah untuk semua.

 BACA ARTIKEL: Dengan profil yang hebat, Mujahid perlu terima pelawaan berdialog

Jika YB tidak melakukanya hari ini, bila lagi rakyat Malaysia boleh mengecapi makna Rahmatan Lil Alamin yang merupakan mesej teragung daripada pengutusan Nabi Muhammad SAW itu (Surah al-Anbiyaa: 107).

Di sebalik gelaran buruk yang YB terima, masih ada ramai rakyat bersama menyokong kedamaian, kesederhanaan, keterbukaan, toleransi dan inklusiviti.

ALI MUDAALI MUDA ialah pegawai tugas-tugas khas Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Diterbitkan di Malaysiakini pada 27 Januari 2020.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button