Ekonomi

K-KOMM, MDEC perkasa sektor ekonomi perkongsian

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menubuhkan serta mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (SEC).

Penubuhan SEC selaku jawatankuasa koordinasi berpusat diumumkan selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob.

SEC ditubuhkan untuk menasihatkan kerajaan dalam langkah intervensi atau dasar untuk menyokong pertumbuhan model perniagaan Ekonomi Perkongsian selain melindungi kepentingan pekerja gig serta pengguna platform gig.

Justeru, SEC akan mengetuai semakan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Nasional berkenaan Ekonomi Perkongsian dengan mengkoordinasi serta menyelaraskan inisiatif berkaitan Ekonomi Perkongsian baharu dan semasa antara kementerian serta agensi yang relevan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, K-KOMM mengiktiraf Ekonomi Perkongsian sebagai satu bentuk model peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu yang berpotensi kepada rakyat.

“Antara sasaran yang disyorkan kepada SEC termasuklah mencapai pendapatan kumulatif pasaran sebanyak RM2.7 bilion, meningkatkan platform tempatan kepada 206 dan mengiktiraf 50 platform tempatan berdasarkan standard antarabangsa, seterusnya melatih serta mengesahkan 250,000 pekerja gig dalam sektor utama seperti perkhidmatan, logistik dan peruncitan selain membangunkan 100,000 pekerja bebas digital untuk merebut peluang pekerjaan gig bernilai tinggi,” kata Annuar.

 

“Penghujung tahun 2021 lalu, K-KOMM dan MDEC telah mengesahkan terdapat 137 platform Ekonomi Perkongsian yang beroperasi di Malaysia berbanding hanya lima platform pada tahun 2015.

“Platform tempatan berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan merangkumi logistik, penghantaran jarak jauh dan bantuan peribadi yang bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat tetapi turut membantu syarikat yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” tambahnya lagi.

Ekonomi Perkongsian merupakan salah satu daripada daripada ekosistem digital yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif Malaysia Digital. Malaysia Digital merupakan inisiatif strategik nasional untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, SEC akan dipandu oleh empat teras iaitu dasar dan peraturan, platform yang dipercayai, insentif dan piawaian serta data dan metrik.

“Ekonomi Perkongsian merupakan sebahagian daripada komponen penting ekosistem digital yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif Malaysia Digital dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan.

“Oleh itu, dasar yang tangkas dan sentiasa ditambah baik adalah diperlukan bagi memanfaatkan model Ekonomi Perkongsian. Pensijilan dan pengesahan oleh kerajaan untuk platform berkenaan akan membantu meningkatkan penggunaan pasaran sambil mengukuhkan keyakinan pengguna,” kata beliau lagi.

Bagi menyokong tenaga kerja gig Malaysia, program eRezeki MDEC telah membolehkan peserta khususnya daripada golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan menerusi kerja berasaskan digital di platform penyumberan awam dalam talian dan sejak 2016 program ini telah melatih 458,543 peserta dan berjaya membantu mereka menjana jumlah jualan kumulatif sebanyak RM2.8 bilion.

K-KOMM dan MDEC akan terus memainkan peranan dalam usaha meningkatkan keyakinan pihak pemegang taruh untuk Ekonomi Perkongsian.  – SM

Artikel berkenaan > MDEC lancar siri ketiga LLD, fokus kepada kursus teknologi digital

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button