Uncategorized

Azalina hantar notis sebulan dan letak jawatan sebagai Penasihat Khas PM

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, menerima peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas Kepada YAB Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia), Jabatan Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Azalina sudah menghantar surat peletakan jawatan itu, Isnin lalu.

“Perdana Menteri menerima peletakan jawatan itu dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan supaya dapat menyelesaikan kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September,” menurut kenyataan itu.

Ismail Sabri Yaakob mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan Azalina diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Semalam, Azalina, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menerusi hantaran ringkas di Facebook miliknya menjelaskan, beliau masih memegang jawatan itu.

“Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia,” tulisnya sambil menitipkan ucapan Selamat Hari Merdeka ke-65.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa bekas Ketua Puteri UMNO itu meletak jawatan penasihat khas kepada Perdana Menteri, dipercayai ada kaitan isu kritikan ke atas badan kehakiman.

Beliau didakwa seperti menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan isu pelantikan Peguam Negara (AG) ketika berucap pada program Taklimat Khas Presiden UMNO, Sabtu lalu.

Pada program itu, Azalina menyampaikan ucapan penuh bersemangat berkaitan pelantikan AG dengan antara petikan mencetuskan kontroversi adalah ‘takkan nak tukar AG pun tak boleh’.

Berikutan itu, beliau menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri, apatah lagi daripada pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan politik.

Antara kandungan ucapan Azalina yang menarik perhatian dan mendapat tafsiran negatif adalah apabila beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak melantik ‘orang dia’ untuk mudahkan segala urusan.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, hadirin taklimat khas itu yang dianjur bagi menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Najib yang kini dipenjara, menjerit ‘Ismail Sabri perlu tukar AG’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button