Nasional

Bung Moktar, isteri tahu nasib atas tuduhan rasuah hari ini

Mahkamah Sesyen dijadual memutuskan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob dijadual menyampaikan keputusannya pada pukul 3 petang.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan bahawa terdapat kes prima facie terhadap Bung Moktar dan Zizie Izette, pasangan itu akan dipanggil membela diri, manakala jika tidak, mereka berdua akan dibebaskan daripada pertuduhan mereka.

Pada 17 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2 Jan 2020.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas pengurus besar Felcra Investments Adnan Yusof, ahli lembaga Felcra Dr Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta Ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

Kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How, manakala peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar dan peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri adalah peguam bagi Zizie Izette.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa menerima rasuah wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette, di Taman Public Bank Cawangan Melawati di sini antara jam 12.30 tengahari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa menerima suapan wang tunai RM262,500 daripada Madhi menerusi akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette, untuk tujuan sama.

Bung Moktar, 64 juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette.

Dua kesalahan terakhir itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

(Visited 772 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button