Nasional

Kabinet putuskan harga minyak masak dua peringkat – Rosol Wahid

Kabinet akan berbincang minggu depan bagi menetapkan kadar baharu minyak masak bagi kegunaan domestik dan eksport kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

Menurutnya, perbincangan awal telah diadakan antara KPDNHEP dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) terutama menyentuh mengenai penetapan harga siling

“Ada cadangan harga minyak masak two tiers (dua peringkat) untuk pasaran domestik dan eksport walaupun dua menteri terlibat sudah bersetuju tetapi ia perlu mendapat kelulusan daripada kabinet.

“Ini diharap dapat meringankan beban kerajaan berhubung isu minyak masak bersubsidi ini, kita belum ada maklumat terperinci dan ia akan diselesaikan dalam kabinet dalam masa dua minggu lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Ke-67 Kumpulan Kerja Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AWGIPC) di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, kerajaan sedang mencari alternatif termasuk penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan agihan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar.

Sementara itu, mengulas berkenaan Mesyuarat Ke-67 AWGIPC yang berlangsung selama lima hari sehingga 26 Ogos, Rosol berkata, Malaysia menjadi tuan rumah untuk menyelaraskan kerjasama dalam bidang harta intelek di rantau ASEAN.

Jelasnya, bagi meningkatkan prestasi harta intelek negara, kerajaan telah menyediakan dana pemfailan sebanyak RM6.5 juta untuk meringankan beban usahawan kecil dalam membuat permohonan.

Dana tersebut katanya, merangkumi yuran pemfailan paten, cap dagang dan hak cipta serta berharap dengan kemudahan ini, pengusaha-pengusaha tempatan mengambil peluang untuk mendaftar dengan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), sama ada secara terus di pusat mahupun dalam talian. – SM

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button