Nasional

KPLB salur RM176 juta bayar elaun JPKK, JPKKP

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan hampir RM176 juta bagi bayaran elaun kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejumlah lebih RM80 juta telah selesai disalurkan kepada 12 negeri bagi fasa satu bulan Januari hingga Jun lalu.

Menurutnya, elaun berkenaan adalah insentif oleh Kerajaan Persekutuan sebagai menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

Mahdzir Khalid.

“Kerajaan melihat peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah KPLB Melaka, Norazlin Mohd Nor.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, setakat ini hanya dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor masih belum menerima peruntukan elaun tersebut.

Bagi Pulau Pinang katanya, elaun belum dapat disalurkan kerana lantikan JPKK negeri itu setakat ini masih belum selesai manakala Selangor pula masih menggunakan peruntukan sedia ada.

Bagi sesetengah negeri menurut Mahdzir, selain elaun yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan, JPKK turut menerima elaun tambahan daripada kerajaan negeri.

“Untuk elaun tambahan ini, Kerajaan Negeri Melaka misalnya memberi RM200 sebulan bagi Pengerusi, RM50 sebulan bagi Setiausaha, RM100 elaun mesyuarat iaitu terhad kepada enam kali mesyuarat setahun dan RM50 untuk Elaun Kehadiran Mesyuarat,” ujarnya.

Sementara itu Mahdzir menjelaskan, bayaran elaun JPKK fasa dua bagi negeri Melaka masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Insha Allah, proses sedang berjalan dan kita akan pastikan pembayaran elaun ini akan dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini,” kata Mahdzir. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button