Nasional

Penuhi kriteria Aspirasi Kampung Sejahtera – Mahdzir Khalid

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenal pasti hanya 127 daripada 28,303 kampung di seluruh negara atau 0.45 peratus berjaya memenuhi kriteria pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejak dilancarkan dua bulan lalu sebahagian besar kampung masih belum mencapai peratusan untuk melayakkan mereka menyertai pertandingan tersebut.

Menurutnya, setiap kampung perlu mempunyai dua elemen iaitu yang pertama adalah prasarana yang disediakan kerajaan Pusat dan negeri adakah ia mencukupi atau tidak, kedua kreativiti kepimpinan ketua menerusi pelbagai program dianjurkan.

“Setakat ini elemen sejahtera sudah mencapai 60 peratus sejak dilancarkan dua bulan lalu dan KPLB masih menunggu laporan daripada seluruh negara dan mungkin dalam tempoh sebulan kita akan dapat laporan penuh.

“Kajian masih dilaksanakan untuk kita belum dapat tahu peratusan sebab ada orang hantar surat kepada saya maklum kampung dia dah penuhi elemen Kampung Sejahtera.

“Bila kita panggil ketua kampung dan tanya dia 16 budak kampung layak ke universiti ada atau tidak dia buat khenduri rai mereka. Tapi dia jawab tidak dan ini menunjukkan dia tidak ada kreativiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka 2022 bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

KPLB memperkenalkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi sekaligus mencapai aspirasi yang dirumus dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Wawasan Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030.

Pelaksanaan Aspirasi Kampung Sejahtera ini memberi fokus kepada sembilan kriteria termasuk Infrastruktur, Ekonomi Berimpak Tinggi, Modal Insan Berdaya Maju, Kesihatan, Kebersihan, dan Keceriaan, Keagamaan dan Kerohanian, Keselamatan, Kepimpinan dan Pentadbiran serta Budaya Inovasi.

Untuk rekod, ketika ini Malaysia mempunyai 28,303 kampung membabitkan 19,447 kampung di Semenanjung Malaysia, 5,976 kampung di Sarawak, 2,853 kampung di Sabah dan 27 kampung di Labuan.

Mahdzir berkata, KPLB akan terus memperkasa Aspirasi Kampung Sejahtera dengan wawasan luar bandar yang sejahtera, insklusif, mampan dan holistik sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar.

Beliau berkata, itu adalah antara matlamat utama pembangunan mampan dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) dan Wawasan Luar Bandar Sejahtera Tahun 2030. – SM

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button