Nasionalpilihan

Hargai jasa wartawan wanita, Pertama terima RM300K daripada kerajaan

Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) hari ini menerima peruntukan sebanyak RM300,000 daripada Kerajaan sebagai tanda prihatin dan menghargai jasa wartawan wanita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada usia 51 tahun, terlalu banyak jasa yang disumbangkan bukan hanya kepada ahli tetapi juga negara.

“Saya dimaklumkan, Pertama diasaskan Allahyarham Puan Azah Aziz dan bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang kewartawanan selain diberi peluang memegang jawatan penting dalam organisasi media massa.

“Saya yakin, ramai lagi nama besar wanita dalam pelbagai bidang di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang pernah menjadi wartawan dan kejayaan Pertama membantu melahirkan golongan berkaliber ini sangat mengagumkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian sempena Majlis Hi-Tea Pertama yang dianjurkan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

Ujar Perdana Menteri, kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi negara hari ini tidak hanya disumbangkan oleh pemimpin negara mahupun tokoh ekonomi.

“Bahkan juga golongan wartawan termasuk wartawan wanita memainkan peranan penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat sejak sebelum merdeka lagi.

“Tanpa mengira penat dan cabaran dihadapi termasuk terdedah kepada bahaya, wartawan wanita juga komited melaporkan pelbagai berita, rencana dalam menyebarluaskan maklumat terkini kepada masyarakat,” katanya.

Memandangkan Pertama menginjak satu usia yang dianggap matang dan berjaya melahirkan banyak nama
besar, Perdana Menteri berharap persatuan tersebut dapat membantu Kerajaan dalam menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan RM300,000 peruntukan kepada Pertama.

Saya mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahunke-51 kepada PERTAMA dan terima kasih atas peranan dan sumbangan anda dalam bidang kewartawanan ke arah pembentukan negara bangsa,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button