Kecoh rupanya umat netizen seantero bumiraya baru-baru ini, bercakaran pasal “denyut” atau “degup” — jantung. Natijah daripada provokasi seorang guru BM.
Konteks perbahasan dirujuk pada lirik lagu Casablanca. Apa pendapat Abam tentang ini?
Beginilah achik-achik semua. Lirik lagu dianggap sejenis karya sastera, bukan karya rencana atau ilmiah. Jadi memang dibenarkan guna “lesen puitika” dalam penulisan.
Dalam bahasa mudah, lesen puitika ini maksudnya: “Suka hati mak nenek macam mana aku mau berimaginasi dan berinovasi dengan istilah.”
So dalam kes lirik lagu ini, tidak timbul isu mana padanan yang tepat untuk jantung — sama ada denyut atau degup.
Persoalan ini, secara fundamental, sebenarnya tidak relevan langsung. Kalau penulisnya mau guna jerit, sendu atau kemut jantungku, pun boleh juga.
Dalam karya kreatif, konotasi sesuatu ayat tidak semestinya literal. Ada banyak ketika ekspresi itu lebih bersifat bayangan, simbolik dan metafora.
Sebab itu kita juga selalu jumpa: pepohon nan menari sambil melambai mesra. Atau, ombak yang mengganas dan ribut yang berteriak nyaring. Hah, yang ini tak ada siapa sudi mau kecoh-kecoh?
Mesti Cikgu Zack sentap: “Erk, sejak bila pula pokok pandai menari dan melambai?” Tapi dalam karya kreatif, itu dibenarkan.
Ini dinamakan teknik personafikasi, iaitu memberi tamsilan perilaku manusia kepada alam benda. Jangan saja guna ayat begitu untuk esei klimatologi.
Takut nanti Abam terajang kamu sampai ke Lautan Hindi.
Sebab itu pakar bahasa tidak semestinya pakar sastera. Ini dua disiplin berbeza. Guru bahasa totok tidak boleh feeling feeling ada merit mau berkhutbah tentang bahasa dalam konteks sastera.
Sebab nuansa dan hukum ahkamnya agak berbeza.
Ini salah satu masalah besar di dunia fana, tempat kita menuai kehidupan. Kita sering disogoh dengan dogma sumbel bahawa bahasa itu sastera, dan sastera itu bahasa.
Asal saja kau guru bahasa — kau layak dijulang sebagai juri pantun, puisi dan aktiviti-aktiviti sastera. ROSAK!
Ya, betul. Ada korelasi intim antara kedua-duanya. Tapi kemahiran bahasa dan sastera, tidak semestinya saling inklusif secara automatik, dalam semua kes dan situasi.
Ada yang tidak pernah terdidik formal dalam bahasa, tapi boleh jadi sasterawan terulung. Ada yang mantul terhebat dalam bahasa, tapi mau hadam pantun empat kerat pun terkial-kial.
Kredit: Rem Dambul