Sejarah telah membuktikan apabila seseorang pembesar di institusi beraja itu memiliki mursyid daripada kalangan ulama yang sebenarnya, kepimpinan dan ketokohan seseorang pembesar itu sangat dihormati.
Mengambil contoh Sultan Muhammad Al-Fateh (Empayar Uthmaniyah), selain takdir, memiliki seorang mursyid di sisi menjadi salah satu sebab mengapa baginda berjaya menjadi Penakluk Konstantinopel.
Dari sudut tempatan pula, Sultan Zainal Abidin III terkenal dalam sejarah Kesultanan Terengganu sebagai seorang pemerintah yang bukan sahaja adil, malah warak lagi bijaksana.
Baginda juga dikenali sebagai seorang pemerintah yang begitu kuat memelihara adat istiadat Melayu, tradisi kesultanan dan menjunjung tinggi ajaran agama Islam di bawah kepimpinan para ulama’ pada waktu itu.
Sultan Zainal Abidin III juga banyak berjasa dalam mengubah dan memajukan corak kehidupan rakyat Terengganu menjelang abad ke-20 dan mursyid baginda adalah seorang pejuang dan ulama, Tokku Paloh.
Hal ini demikian kerana mursyid bukan sahaja berperanan dalam menyampaikan ilmu agama malah membimbing seseorang pembesar itu berlaku adil terhadap semua bidang yang akan diperintah.
Bidang-bidang ini bukan tertakluk kepada penguasaan tauhid (rukun iman), feqah (rukun Islam) dan tasawwuf (rukun ehsan) malah ia meliputi ilmu berkait pentadbiran, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Pensyarah Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, dalam konteks institusi beraja di Malaysia, ia adalah sesuatu yang perlu.
“Walaupun dalam konteks institusi beraja di Malaysia memang ada pegawai agama dan sebagainya tetapi kita mengharapkan jawatan itu bukan sekadar kedudukan secara formal.
“Disebabkan mursyid mempunyai kebolehan dalam memberikan pandangan kepada raja-raja, mereka yang berada di situ perlu memainkan peranan dalam memberi pandu arah terhadap kepimpinan istana,” katanya.
Muhammad Fathi berkata demikian ketika menjawab soalan-soalan dalam program Bicara @ Muzium – Institusi Beraja : Prospek Masa Hadapan Institusi Beraja Di Malaysia.
Turut hadir dalam program berkenaan, Pengarah Muzium Diraja, Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff dan Pensyarah Universiti Malaya Jabatan Sejarah, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
Mengulas lanjut keperluan tersebut, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Prof. Madya. Dr. Khalif Muamar A. Haris berpendapat, pembesar hari ini perlu mendalami ilmu untuk mengenal perwatakan ulama untuk dijadikan mursyid agar tidak tersilap membuat pilihan.
“Mengapa para pemimpin seperti amat sukar untuk mendekati para ulama? Jawapannya adalah kerana terlalu ramai ulama palsu pada hari ini.
“Nabi Muhammad SAW pernah menyebut pada zaman kamu, ulamanya lebih ramai daripada khatib namun akan tiba satu zaman, khatibnya lebih ramai daripada ulama.
“Masalah yang terjadi pada hari ini adalah banyak kekeliruan timbul sampaikan ilmu tentang siapa itu ulama pun tiada dalam pemikiran masyarakat kita.
“Jadi cabaran paling besar ketika ini adalah bagaimana untuk menjadikan kita termasuklah pemimpin atau pembesar tahu siapa ulama sebenar dan boleh menilai mana yang benar atau mana yang palsu,” katanya.
Sementara itu, menurut Penyandang Kursi Institusi Rajha-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Shamrahayu Ab. Aziz, terdapat peruntukan yang boleh digunakan bagi mewujudkan perkara tersebut.
Hal ini demikian kerana mursyid ini adalah orang yang memberi panduan kepada istitusi beraja dan kalau ikut perlembagaan, fungsi itu pastinya yang pertama dalam bidang kuasa kepada jemaah menteri.
“Terdapat peruntukan yang boleh digunakan bagi membentuk badan penasihat institusi beraja ini terutamanya untuk membimbing Majlis Raja-Raja iaitu dengan perkara 40 fasal (3).
“Dalam perkara 40 fasal (3) ada menyatakan perkara yang membabitkan kebolehan parlimen dalam menubuhkan badan-badan untuk menasihati institusi beraja ini,” jelasnya.
Ujar Shamrahayu, mungkin dalam media sosial masyarakat termasuk institusi beraja akan berdepan kritikan atau persoalan yang dilantik itu ‘penasihat’ atau ‘punahsihat’.
“Tetapi bagi saya apabila ada ruang perlembagaan itu, ia perlu ditubuhkan untuk membina sama ada Majlis Raja-Raja atau Perlembagaan itu yang dibuat secara realiti oleh badan perundangan.
“Maka badan perundangan itu perlulah mempunyai tanggungjawab untuk menjaga institusi beraja tidak kira kerajaan mana, tidak kira parti mana, ia haruslah menghormati perlembahaan.
“Hal ini sekali gus mengangkat institusi beraja itu sebagai institusi yang diiktiraf oleh undang-undang dan juga masyarakat,” jelas Shamrahayu.
Bicara @ Muzium – Institusi Beraja : Prospek Masa Hadapan Institusi Beraja Di Malaysia adalah sebuah program anjuran Muzium Diraja Kuala Lumpur, Jabatan Muzium Negara dan ia telah berlangsung dengan jayanya di AnCasa Hotel Kuala Lumpur pada 27 Julai 2022.