Nasional

Hina Islam: Penganggur dipenjara setahun

SEORANG penganggur terpaksa menjalani hukuman penjara setahun ekoran gagal membayar denda RM10,000 selepas didapati bersalah menghina Islam di Facebook pada 17 Julai lalu.

Memetik BHOnline, Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 selepas tertuduh, Syaidinar Abu Bakar, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun tertuduh gagal membayar denda RM10,000 menyebabkan hukuman penjara telah ditambah.

Tertuduh melakukan kesalahan itu dilakukan di Lot 532A Kampung Bagan Chekok, Pulau Chondong, Machang pukul6 petang 17 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum itu memohon hukuman terhadapnya diringankan, namun Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan.

“Mohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira tertuduh menghina agama dan boleh mencetuskan ketidakamanan dalam masyarakat.

“Pada masa sama, ia boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak memandang ringan isu seperti ini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button