NasionalNegeri

YTSP terima 3,600 liter air mineral T.H untuk mangsa banjir di Baling

T.H. Mineral Water Industries (M) Sdn Bhd telah memberi sumbangan 3,600 liter air mineral kepada mangsa-mangsa bencana kejadian kepala air dan banjir lumpur di Baling, Kedah melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Sumbangan tersebut dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Pengarah Eksekutifnya, Loh Kien Hin sempena keberangkatan Baginda bagi merasmikan ‘Production Line 250ml TH Mineral Water’ di kilang mereka yang beroperasi di Jalan Tasoh, Kaki Bukit.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Teh Chai Aan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Loh, beliau dan seluruh warga T.H. Mineral menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail berangkat bagi menyempurnakan perasmian tersebut.

Sebagai tanda syukur di atas perkenan dan kesudian Tuanku Raja Muda Perlis yang terkenal sebagai pewaris takhta yang amat prihatin dan berjiwa rakyat, pihak syarikat berbesar hati untuk turut membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan banjir di negeri jiran itu dengan harapan semoga sumbangan CSR kecil ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Sebanyak 1500ml x 12 botol x 200 pek bersamaan 2400 botol air mineral berjenama ‘Star Cool’ diserahkan kepada pihak YTSP Perlis dan terus dihantar segera ke Sungai Lata Celak, Kampung Iboi melalui ‘Misi Bantuan Baling oleh MAIPs dan sukarelawan Majlis Belia Negeri Perlis’ semalam.

Kilang air mineral T.H. Mineral Water ini telahpun beroperasi sejak tahun 2015 dan kini mempunyai seramai 30 pekerja. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button