Banjir Baling : Mayat 3 sekeluarga yang hanyut telah ditemui
MAYAT tiga sekeluarga ditemui di Kampung Iboi di Kupang, Baling, Kedah hari ini selepas dihanyutkan air banjir semalam.
Mayat dua daripada mangsa – seorang wanita hamil dan ibu mertuanya – ditemui bersama di bawah timbunan serpihan kayu kira-kira 100m dari tempat mereka hilang.
Laporan Bernama mengenal pasti mereka sebagai Salmah Mat Akib, 53, dan Nurul Anis Abu Hassan, 23.
Mayat anak lelaki Salmah, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui kira-kira tengah hari.
Ketiga-tiga mereka dihanyutkan air banjir bersama serpihan, menyebabkan mereka terperangkap, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Sayani Saidon dalam laporan Harian Metro.
Seramai 334 mangsa dari sembilan kampung di Baling telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan selepas hujan berterusan semalam.