Luar Negara

920 korban gempa bumi di Afghanistan

KIRA-KIRA 920 orang menjadi korban gempa bumi dengan magnitud 6.1 yang menggegarkan bumi Afghanistan manakala lebih 600 cedera.

Pihak berkuasa pengurusan bencana negara itu mengesahkan, jumlah kematian dan kecederaan dijangka meningkat sebaik maklumat lanjut diperoleh dari kawasan perkampungan terpencil di pergunungan.

Sementara itu, gambar-gambar yang dipaparkan oleh media tempatan menunjukkan banyak rumah dan bangunan yang musnah dalam bencana alam itu.

Gambar-gambar yang disiarkan itu turut memaparkan mayat-mayat yang menjadi korban gempa ditutup dengan kain.

Pegawai kementerian dalam negeri, Salahuddin Ayubi berkata, helicopter telah dikerahkan ke kawasan terjejas dalam usaha membawa bekalan perubatan serta makanan selain membantu menyelamatkan mereka yang cedera.

“Jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan terdapat perkampungan yang terjejas terletak di tempat terpencil di kawasan pergunungan,” katanya.
Untuk rekod, gempa bumi yang berlaku semalam adalah yang terburuk di negara itu sejak 2002.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku kira-kira 44 kilometer (km) dari Khost di tenggara Afghanistan yang bersempadan dengan Pakistan.

“Kebanyakan kematian disahkan berlaku di Paktika di mana 255 orang terbunuh dan lebih 200 cedera. Seramai 25 maut dan 90 orang dibawa ke hospital di Khost,” jelasnya.

Pemimpin agung Taliban, Haibatullah Akhundzada dalam satu kenyataannya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga yang terkorban.

Operasi bantuan yang dilaksanakan dilihat sebagai menguji kemampuan Taliban yang mengambil alih pentadbiran negara Afghanistan pada Ogos dan sejak itu kebanyakan bantuan antarabangsa terputus disebabkan pelbagai sekatan dikenakan.

Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) di Twitter turut memaklumkan, gegaran yang berlaku semalam itu turut dirasai 119 juta penduduk di Pakistan, Afghanistan dan India.

Bagaimanapun tiada laporan bahaya atau mangsa di Pakistan.

Sementarai tu, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Unocha) berkata, Afghanistan telah meminta bantuan agensi kemanusiaan dalam melaksanakan usaha menyelamat.

Jurucakap kementerian luar Afghanistan turut berkata, negara itu mengalu-alukan bantuan antarabangsa dan Pakistan telah menyuarakan, mereka sedang berusaha menghulurkan bantuan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button