Seramai 91 daripada 282 banduan dari Penjara Sungai Udang, Melaka diterima bekerja sejak Januari hingga hari ini termasuk melalui Program Perlepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Timbalan Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Mohd. Hafizey Yahaya berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 10 buah syarikat di sekitar negeri ini menjadikan bekas banduan sebagai pekerja mereka.
“Setakat ini alhamdulillah banyak majikan di negeri ini bagi kerjasama sebagai contoh
contoh pada hari ini seramai 29 banduan telah diterima bekerja.
“Saya turut meminta lebih banyak majikan tampil untuk mengambil bekas banduan di bawah progam PBSL kerana setiap bulan akan ada banduan yang dibebaskan khususnya yang dihukum penjara di bawah tiga tahun.
“Mereka yang diterima bekerja pula akan terus dipantau oleh pegawai parol dari masa ke semasa,” ujarnya pada program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Dinanti) Sempena Hari Kemerdekaan 2023 di Penjara Sungai Udang, Melaka di sini hari ini.
Mohd. Hafizey berkata, Jabatan Penjara juga turut menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam usaha mendapatkan bekas banduan bekerja di pelbagai sektor di negeri ini.
Sementara itu seorang Pengurus Impian Bersama Enterprise, Najiah Atira Abd. Rahman, 29, berkata, syarikatnya telah mengambil bekas banduan bekerja sejak setahun lebih.
Menurutnya, syarikatnya yang membuat gula Melaka di Melaka Halal Hub tidak berdepan sebarang masalah menggunakan tenaga kerja menerusi program PBSL.
“Setakat ini hampir 100 pekerja bekas banduan telah bekerja dengan syarikat saya dan mereka tidak pula menimbulkan sebarang masalah besar ada pun hal-hal yang kecil.
“Hari ini syarikat saya hanya ambil antara tiga atau empat bekas banduan yang terpilih untuk bekerja,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Madani Food Industries, Datuk Mohd. Khalid Nasir berkata, ini kali pertama syarikatnya mendapatkan bekas banduan bekerja di syarikatnya.
Menurutnya, antara sebab utama beliau mendapatkan tenaga kerja dari penjara selepas berdepan dengan masalah pekerja tempatan yang bekerja untuk tempoh yang sangat singkat.
“Jadi saya ubah fikiran mengapa tidak gunakan tenaga kerja bekas banduan lagipun kita dapat beri peluang mereka ini mencari rezeki dan melatih mereka hingga pandai,” ujarnya. – SM