80 sertai Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019
IPOH, 14 Dis — Kira-kira 80 peserta tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 selama sembilan hari di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sini, yang bermula hari ini.
Pertandingan julung kali diadakan oleh 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri itu turut disertai oleh kalangan peserta antarabangsa dari Indonesia, Australia serta Korea.
Komander 69 Komando, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff berkata pertandingan itu diadakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhan 69 Komando dan tiga kategori dipertandingan bagi penyertaan individu atau berkumpulan.
“Kategori yang dipertandingkan adalah ketepatan payung tentera, kerjasama di udara, dan formasi terjunan bebas, yang mempertaruhkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM30,000.
“Pertandingan ini disertai peserta berusia antara 20 dan 60 tahun dengan 40 penerjun tempatan daripada pasukan khas Pasukan Khas Laut, Pasukan Khas Udara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk bekas tentera dan juga orang awam manakala 40 penerjun antarabangsa turut disertai sembilan penerjun wanita,” katanya ketika ditemui pemberita pada pertandingan berkenaan di sini, hari ini.
Abdul Razak berkata majlis penutupan pertandingan itu dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 22 Dis, pukul 3,00 petang.
Sementara itu, seorang peserta tempatan, Mohd Nor Feirkhan Razali, 42, yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah kilang di Simpang Pulai di sini berkata minat menyertai sukan payung terjun sejak kecil didorong oleh bapanya, Razali Isa, 67, yang merupakan antara 10 bekas jurulatih pertama dalam 69 Komando.
Beliau berkata sebagai orang awam, adalah agak sukar baginya menyertai acara seumpama itu kerana beliau bukan anggota tentera, namun menurutnya beliau telah melakukan persiapan dengan membuat 30 kali terjunan di tiga lapangan terbang iaitu di Tekah, Taiping; Segamat, Johor serta Langkawi, Kedah.
“Saya mula menyertai sukan ini sejak 2014 dan pernah menyertai pertandingan yang serupa di Indonesia dan China namun belum pernah memenangi mana-mana pertandingan sebelum ini,” katanya yang menyertai pertandingan itu dalam Ketepatan Payung Tentera bagi kategori individu.
Bagi peserta antarabangsa dari Australia, Jason Colles, 40, ini merupakan pertandingan kali pertama yang disertainya di Malaysia, selain pernah bertanding pertandingan serupa di Indonesia sejak 2016.
“Ia agak sukar kerana negara ini agak panas dan berangin,” katanya yang bekerja sebagai tukang paip di negara kelahirannya.
Sementara itu, acara pembukaan rasmi pertandingan dilakukan oleh Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, petang ini yang turut menyaksikan penyampaian taklimat berkaitan teknikal dan keselamatan kepada peserta terlibat.
— BERNAMA