Nasional

700 sukarelawan mahasiswa bantu kelancaran SUKIPT 2022

Seramai 700 sukarelawan dari kalangan mahasiswa universiti-universiti awam dan swasta menjadi tunjang penganjuran Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 12 hingga 21 Ogos.

Ketua Sekretariat SUKIPT 2022, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata penglibatan sukarelawan mahasiswa amat penting sebagai mewakili urusetia penganjuran sukan yang melibatkan kalangan mahasiswa sendiri.

Pekan Ramli (tengah) bersama wartawan sukarelawan SUKIPT memerhatikan buletin yang akan diterbitkan sepanjang penganjuran temasya sukan tersebut.

“Baru-baru ini di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani, Thailand misalnya, urusetia kejohanan merupakan sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan warga universiti tempatan tersebut, menjadi inspirasi kepada penganjuran SUKIPT pada edisi kali ini untuk memperkasa semangat sukarelawan antara mahasiswa,” jelasnya kepada lebih 700 sukarelawan mahasiswa di Dewan Tuanku Canselor UPSI di sini, semalam.

Menurutnya lagi sukarelawan ini akan membantu 17 jawatankuasa umum dan 11 jawatankuasa teknikal termasuklah 21 acara permainan dipertandingkan bermula esok.

Md Amin (kanan sekali) bersama sebahagian daripada 700 mahasiswa sukarelawan SUKIPT dari pelbagai Universiti Awam di UPSI semalam.

Terdahulu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata semasa sesi pertemuan bersama sukarelawan SUKIPT 2022 pada sebelah pagi pula mengucapkan terima kasih atas penglibatan mereka yang bertungkus lumus menjayakan penganjuran SUKIPT selepas penganjuran terakhir 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kemunculan SUKIPT kali ini amat bermakna, lebih-lebih lagi apabila UPSI pada tahun ini bakal menyambut 100 tahun penubuhan institusi pendidikan terulung di rantau ini,” jelasnya.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyampaikan amanat kepada para sukarelawan SUKIPT 2022 di UPSI.

Penganjuran SUKIPT pada kali ini juga menyaksikan kemunculan wadah penerbitannya tersendiri iaitu Buletin SUKIPT yang diterajui 20 wartawan sukarelawan dari kalangan mahasiswa sendiri melaporkan berita temasya sukan peringkat pengajian tinggi itu.

Penyelaras Jawatankuasa Media, Buletin dan Dokumentasi SUKIPT 2022, Ahmad Faisal Mohd Fiah.

Menurut Penyelaras Jawatankuasa Media, Buletin dan Dokumentasi SUKIPT 2022, Ahmad Faisal Mohd Fiah berkata sebanyak sembilan siri laporan buletin bercetak akan diterbitkan sarat dengan perkembangan terkini perlawanan.
“Selain bersedia dengan laporan dan rangkuman berita setiap perlawanan semasa kejohanan berlangsung, para wartawan dari kalangan mahasiswa ini turut dibimbing dengan etika kewartawanan serta mendapat pendedahan sebenar dalam bidang tersebut sekali gus memberi pengalaman berharga kepada mereka,” jelasnya lanjut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button