6,560 penduduk Perlis terlibat kaji selidik pendapatan isi rumah
SEBANYAK 6, 560 penduduk di negeri ini terlibat dalam Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia melibatkan 1, 640 isi rumah dari tempat kediaman terpilih (TK) persendirian.
Beliau berkata, survei ini bermula pada Januari 2022 dan akan berakhir pada Disember tahun ini.
“Banyak manfaat yang boleh dirasai oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung hasil survei ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang Bersama Media Sempena Pelaksanaan HIES/BA 2022 di Kampung Pulau Ketam dan Kampung Tengah, Kuala Perlis petang ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perlis, A. Pathmavathi.
Dr. Mohd. Uzir berkata, beliau berpuas hati kerana penduduk yang terlibat didapati memberikan kerjasama yang baik.
“Sekaligus ini dapat membantu survei ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Salah seorang penduduk, Nordin Jusoh, 59, seorang nelayan berasa bertuah dengan kehadiran Dr. Mohd. Uzir semasa sesi survei berkenaan dijalankan di kediamannya.
“Saya juga tidak sangka terpilih untuk survei ini dan bersedia bekerjasama,” katanya.
Begitu juga Abdul Rashid Wahab, 75, berbesar hati dipilih untuk terlibat dalam survei ini.
Beliau dan ahli keluarganya sedia memberikan maklumat untuk survei itu yang bakal memberi manfaat kepada rakyat di negara ini. -SM