Politik

63 tahun merdeka, hutang negara cecah RM1 trilion

Video penuh ucapan di bawah

HUTANG negara meningkat teruk sehingga mencecah RM1 trilion menjadi kekesalan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terhadap kepimpinan negara.

Ini kerana, mereka mendakwa amalah rasuah, kepimpinan tidak bermoral dan tiada integriti menyebabkan hutang negara meningkat lebih 50 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia merupakan peningkatan tertinggi dalam sejarah negara yang pernah suatu ketika dahulu menjadi ‘Harimau Asia’ sebagai negara membangun.

Dakwa Putra, hal demikian menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mengurus dan melaksana dasar walaupun ia dianggap sebagai terbaik.

“Mutakhir ini pula, ekonomi negara yang pernah suatu ketika dahulu dianggap ‘Harimau Asia’ sedang dalam keadaan tenat.

“Hutang negara melebihi RM1 trilion, tertinggi dalam sejarah. Defisit juga meningkat, manakala peluang pekerjaan semakin sukar dan di tambah pula dengan pandemik Koronavirus (Covid-19) yang tidak tahu berapa lama dan bila kesudahannya.

“Padahal Malaysia diakui sebagai negara yang mempunyai dasar terbaik, tetapi gagal dalam soal pelaksanaan yang berpunca daripada amalan rasuah, salah guna kuasa serta tiada integriti.

“Semuanya kerana ‘pemimpin kencing berdiri, muridnya pasti kencing berlari’.

“Bila pemimpin tidak bersih dan tidak bermoral, maka pasti tidak boleh menjadi teladan yang baik kepada kakitangan kerajaan dan rakyat amnya.”

Demikian ucapan Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali, ketika perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama Putra di Hotel Regency, Kuala Lumpur, hari ini.

Persidangan julung kali diadakan itu dihadiri seramai 250 berbanding 1,200 perwakilan yang sepatutnya hadir, namun perlu akur kepada prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Dalam ucapan sama juga, beliau menegur pimpinan parti politik kerajaan dan pernah menjadi kerajaan yang bermewah apabila menjadi pemimpin.

Katanya, hal demikikan tidak sepatutnya berlaku apabila penyokong-penyokong mereka masih lagi tersepit dengan tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi.

“Pemimpin negara kita, pakai baju pun berharga ribuan ringgit. Di Malaysia, bila jadi pemimpin sahaja pakai sut jenama Dolce Gabbana, Linen, kasut seperti Bally dan lain-lain jenama.

“Rumah macam mahligai, kereta hebat-hebat bersusun, malah ada yang lebih hebat daripada sultan.

“Sebenarnya, kalau hendak pakai barangan berjenama boleh beli di Golok, Thailand sebelah Pasir Mas banyak yang murah.

“Bayangkan pemimpin politik ada rumah bernilai puluhan juta, tidak sebiji malah ada juga yang memilki rumah mewah di luar negara.

“Manakala majoriti bangsa pribumi yang dipimpinnya hanya menunggu rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ataupun rumah mampu milik sahaja.

“Sepatutnya, setelah 63 tahun merdeka tiada lagi yang miskin di Malaysia, malah bagi semua kaum.

“Sepatutnya semua rakyat hidup dalam kesejahteraan jika Malaysia ini ditadbir oleh pemimpin yang bersih dan bermoral, tetapi sebaliknya gagal, mengecewakan dan negara pula terhutang lebih RM1 trilion.

“Sepatutnya negara ada lebihan simpanan RM1 trilion, bukan hutang 1 trilion.

“Tengoklah negara-negara lain yang tidak mempunyai apa-apa tetapi hebat dan mempunyai simpanan dengan jumlah yang luar biasa.

“Kenapa? Sebab mereka mempunyai pemimpin yang bersih dan bermoral. Lihat contoh Singapura, Finland, Norway dan banyak lagi negara bukan Islam tersangat hebat,” kata Ibrahim.

Putra menganjurkan persidangan agung pertamanya yang turut dihadiri tetamu khas wakil daripada kedutaan Iran, Pakistan dan Turki.

Turut hadir adalah pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) dan pemerhati-pemerhati khas. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button