Luar Negara
Trending

596 kes baharu di Singapura hari ini, jumlah keseluruhan melebihi 6,000

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MOH) telah mengesahkan 596 kes awal jangkitan baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 6,588.

Kementerian itu berkata majoriti kes membabitkan pemegang permit kerja yang kini tinggal di asrama pekerja asing manakala 25 adalah warganegara/penduduk tetap Singapura.

“Kami masih meneliti butiran kes terbabit dan kemas kini lanjut akan dikongsi menerusi siaran akhbar MOH yang akan dikeluarkan malam ini,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut BERNAMA setakat tengah hari Sabtu (18 April, sejumlah 4,162 kes telah diklasifikasikan sebagai penghuni asrama pekerja, 284 membabitkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama pekerja, 977 kes komuniti manakala 569 lagi adalah kes import.

Singapura telah mewartakan 12 daripada lebih 20 asrama pekerja yang terjejas sebagai kawasan isolasi dengan kebanyakan penghuni yang dijangkiti adalah warganegara Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Semalam, tujuh rakyat Malaysia antara 942 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes di republik ini sebanyak 5,992.

Berikutan tujuh kes baharu itu, kini terdapat sebanyak 92 rakyat Malaysia dijangkiti virus corona di negara itu.

Menurut data harian terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, dua daripada mereka ada kaitan dengan dua pekerja asing yang dijangkiti di asrama iaitu Asrama Tuas View dan Sungei Tengah Lodge.

Tiga daripada mereka, sementara itu, masih diklasifikasikan sebagai kes tiada kaitan tempatan manakala satu lagi ada kaitan dengan kluster TTJ Design & Engineering Pte Ltd dan seorang lagi rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan kes 4,547, warganegara Malaysia berumur 29 tahun.

Sementara itu, Restoran makanan segera, McDonald’s Singapura, menghentikan semua operasinya termasuk khidmat penghantaran ‘McDelivery’ dan khidmat pandu lalu, ‘Drive-Thru’, mulai hari ini hingga 4 Mei ini.

Semua restoran McDonald’s di sini akan ditutup mulai jam 11 pagi ini sementara khidmat Drive-Thru pada jam 8 pagi dan pesanan terakhir Mc Delivery pada jam 10.30 pagi.

Pengarah Urusannya, Kenneth Chan, dalam kenyataan hari ini, berkata langkah tersebut diambil susulan nasihat Kementerian Kesihatan Singapura dalam usaha mencegah dan memerangi penularan wabak COVID-19.

“Bagi kami semua, ini adalah masa yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami telah mengambil semua langkah pencegahan dengan sebaik mungkin demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan mereka yang berterusan dan berharap dapat memberi layanan semula pada 5 Mei ini,” katanya.

Sehingga semalam, Singapura telah mencatatkan jumlah keseluruhan 5,992 kes positif COVID-19.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button