4,500 pokok Harumanis ditanam bakal tingkatkan hasil
Program Penanaman Serentak 4,500 lagi Pokok Mangga Harumanis Perlis di seluruh negeri ini pada hari ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik bagi merancakkan lagi industri Harumanis Perlis.
Para peserta yang terlibat dalam program ini haruslah mengambil peluang tersebut dengan sebaik mungkin. Pokok yang ditanam di sekeliling rumah perlu diurus dengan baik sehingga dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti dan selamat untuk dipasarkan.
‘Ikutilah kursus dan dapatkanlah khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dalam pengurusan Harumanis mengikut amalan teknologi yang ditetapkan’.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Penanaman Serentak 4,500 Pokok Mangga Harumanis Perlis, Tahun 2020’ bersempena dengan ‘Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Sektor Pertanian)’ yang diadakan di Pusat Internet Malaysia Kampung Batas Lintang Simpang Empat.
Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis itu disambut oleh Pengarahnya Hafizuddin Othman serta para pegawai kanan jabatan.
Turut hadir mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra, menitahkan rasa amat tertarik dengan program-program pertanian yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan yang secara khusus memberi tumpuan dan keutamaan kepada golongan B40.
Tambah baginda, penularan COVID-19 jelas memberi kesan yang begitu besar terhadap sumber pendapatan dan keperluan sara hidup.
Oleh itu, baginda amat menggalakkan golongan B40 khususnya menyertai aktiviti pertanian kerana sekiranya diusahakan dengan cara dan kaedah yang betul, InsyaAllah ia akan mampu memberi sumber pendapatan sampingan yang dapat membantu memenuhi keperluan kos sara hidup dan meringankan beban kewangan keluarga masing-masing.
Untuk rekod, walaupun terdapat pengurangan jumlah pengunjung ke Perlis untuk musim Harumanis pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, namun, Harumanis Perlis tetap mendapat sambutan menggalakkan menerusi penjualan atas talian.
5 Disember pada setiap tahun ialah ‘World Soil Day’ yang disambut bagi memberi fokus dan juga kesedaran kepada masyarakat tentang betapa mustahaknya pengurusan sumber tanah yang lestari di seluruh dunia.