42 laporan kematian dalam kalangan penerima penggalak
PETALING JAYA: Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) telah menerima 42 laporan kematian dalam kalangan penerima dos penggalak, di mana 14 kes diberikan suntikan heterologous (vaksin campuran).
Pengarah NPRA Dr Roshayati Mohamad Sani berkata jab Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca masing-masing mencatatkan kadar kematian 3.4, 4.2 dan 1.4 kematian dalam kalangan penerima bagi setiap juta dos.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata NPRA juga telah menerima 80 laporan kesan buruk serius yang dialami berikutan imunisasi (AEFI) selepas menerima suntikan penggalak, bersamaan dengan enam laporan bagi setiap satu juta dos.
80 kes itu adalah sebahagian daripada 1,104 laporan AEFI dalam kalangan penerima suntikan penggalak, bersamaan dengan 85 laporan bagi setiap satu juta dos, katanya.
Roshayati berkata sebanyak 13,000,984 suntikan penggalak telah diberikan setakat 11 Feb.
“Daripada pemantauan laporan AEFI yang diterima NPRA setakat ini, trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pentadbiran dos primer.
“Trend pelaporan yang sama juga telah dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi untuk dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya.
Beliau juga berkata 79,393 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun setakat 11 Feb.
“Setakat ini, hanya lapan laporan kesan buruk yang tidak serius diterima, iaitu bersamaan dengan kadar 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.
“Antara kesan buruk yang dilaporkan ialah tindak balas kulit, muntah dan sakit di bahagian perut,” katanya.