40 pelajar KUIPs antara 200 belia Perlis sertai program Rakan Ekspresi
SEBANYAK 40 pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di antara lebih 200 belia di negeri ini telah menyertai program Rakan Ekspresi di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di Batu 5, Jalan Kuala Perlis, baru-baru ini.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perls ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Prof Dr Muhammad Rozaimi Ramle yang juga Rektor KUIPs.
Muhammad Rozaimi mengucapkan tahniah kepada JBS serta agensi yang terlibat kerana berjaya menganjurkan program untuk golongan belia khususnya pada bulan Ramadan ini.
“Melalui aktiviti kerohanian yang dianjurkan ini pastinya dapat memberi pengetahuan dan bimbingan dalam memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian,” ujarnya di majlis itu.
Beliau yakin dengan aktiviti tadarus al-Quran, pertandingan azan dan pertandingan hafazan yang dianjurkan sempena program ini dapat memberi manfaat kepada mereka.
Katanya, mereka bukan sahaja dapat membaca ayat-ayat suci al-Quran malah dapat memberi perhatian dengan alunan ayat suci yang dibaca juga.
Beliau menambah walaupun Nabi Muhammad SAW telah wafat lebih 1400 tahun lalu namun dalam tempoh yang panjang itu Umat Islam telah melalui pelbagai liku kehidupan.
“Kita bersyukur kerana rasa cinta terhadap Risalah Illahi bersumberkan wahyu al-Quran yang dibawa Baginda SAW masih segar di minda dan sanubari masyarakat,” katanya.
Moga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan belia dinegeri ini terutamanya untuk sama-sama membudayakan bacaan al-Quran dan menanamkan semangat cintakan al-Quran.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JBS Perlis, Mohd Hanafi A. Rahman dan Imam 1 Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Ustaz Ajwad Bakri. – SM
BACA Aidilfitri: KUIPs beri cuti dua hari