3,000 jalani ujian klinikal fasa-3 vaksin Covid-19 bulan depan
SERAMAI 3,000 peserta akan terlibat dalam kajian kinikal fasa-3 vaksin Covid-19 bulan depan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian yang akan dimulakan oleh Kementerian Kesihatan itu dilakukan menerusi inisatif Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) bersama negara China.
Vaksin yang akan diuji tersebut dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).
Menurut Muhyiddin, kajian klinikan tersebut akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh institut tersebut.
Katanya, kajian yang dijangkakan bermula pada bulan Disember ini dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR).
“Profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC).
“Ini bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.
“Kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan berkolaborasi untuk menjalankan kajian klinikal fasa-3 ini di Malaysia,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kajian berkenaan akan melibatkan lapan buah pusat penyelidikan klinikan di bawah seliaan KKM.
Muhyiddin berkata, kerajaan memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan di negara ini perlu melepasi syarat-syarat ketat yang telah ditetapkan oleh Nahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Katanya, Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam soal keselamatan.-SM