Politik

Anwar mengaku arah tolak cadangan undi belah bahagi

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang untuk mengarahkan agar tidak menyokong dan menolak cadangan undi belah bahagi dalam Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau telah meminta ketua-ketua whip parti pembangkang untuk tidak berbuat demikian biarpun rakan komponen lain merasakan undi belah bahagi adalah perlu waktu itu.

“Walaupun rakan-rakan khususnya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian.

“Ini supaya Ahli-Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas menolak belanjawan termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.

Katanya juga, dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa nanti, ahli-ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan yang disebutkan Menteri Kewangan semalam adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana Kementerian lain

Selain itu katanya, kerajaan perlu menjelaskan juga berapa jumlah sebenar belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

Sokongan 15 ahli Parlimen diperlukan untuk undi belah bahagi untuk tujuh blok dilakukan. Ini akan membolehkan undian setiap ahli Parlimen direkod secara rasmi.

Sebaik saja Tengku Zafrul menamatkan ucapannya, Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) bangkit bagi meminta undi belah bahagi.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengira hanya 13 ahli Parlimen pembangkang yang menyokong usul itu.

(Visited 355 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button