30 sukarelawan YES POLIMAS ikut ceramah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran
SEBANYAK 30 pelajar Sukarelawan YES Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) menyertai program Cambah Minda mengenai isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Program sehari ini dianjurkan oleh POLIMAS, Jitra, Kedah dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah.
Semasa program ini diadakan ceramah, perbincangan dan juga pembentangan oleh pelajar bagi membolehkan mereka mendapat kefahaman isu ini secara lebih mendalam.
Ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kuala Muda, Jamil Zainol.
Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Dr Mhd Azmin Mat Seman dalam ucapan aluan perasmian penutup program berkata, pendedahan yang diberikan dalam program ini adalah sangat baik bagi membolehkan para pelajar POLIMAS mengetahui secara lebih mendalam tentang apakah yang dikatakan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Katanya, ia sangat penting agar mereka apabila bergraduat nanti tidak terlibat dengan jenayah ini sekalipun ia mendatangkan pendapatan lumayan.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Gerak Saraf dan Pengurusan Isu), Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Aidatul Shima Hassan dalam ucapan perasmian penutup berkata, program ini diadakan bertujuan memberikan kefahaman kepada pelajar-pelajar Institut Pendidikan Tinggi terutama POLIMAS tentang jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
“Perkara ini penting agar para pelajar mengambil iktibar agar mereka berhati-hati apabila memilih pekerjaan nanti kerana ditakuti akan terjebak dengan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya.
Jelasnya, pelajar perlu mendapat info yang sahih melalui laman web kerajaan terutama dari Jabatan Penerangan Malaysia dan lain-lain laman web kerajaan.
Tambahnya, Jabatan Penerangan Malaysia sendiri berfungsi menyampaikan dasar negara dan maklumat yang sahih kepada masyarakat.
Salah seorang pelajar ditemui, Arfah IIya Baizura Zairy, pelajar kursus Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah berkata, daripada program ini baharu dia memahami maksud MAPO.
“Rupanya ia adalah Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan yang berperanan merumuskan dasar dan program untuk mencegah serta memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di Malaysia,” katanya. – SM