MahkamahNasional

3 termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa edar dadah

TIGA individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tiga tuduhan mengedar dadah seberat lebih 23kg bulan lepas.

Loong Chan Yow, 46; Chai Choon Foo, 54 dan Wong Fook Loy; 46 mengangguk faham namun tidak membuat sebarang pengakuan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini, lapor Harian Metro.

Kes ini turut membabitkan dua warga Myanmar, yang sepatutnya didakwa bersama hari ini, namun tuduhan akan dibacakan terhadap mereka 23 Jan depan kerana memerlukan khidmat jurubahasa.

Kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis serbuk MDMA seberat 22.5 kg, pil MDMA seberat 368g dan serbuk MDMA 673g di rumah tidak bernombor di Taman Pasir Putih dekat Pasir Gudang pada 27 Nov lepas.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu, manakala semua tertuduh termasuk warga Myanmar diwakili Mohd Hamizi Mohd Yusof selaku peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Jan sebagai tarikh laporan kimia dan jurubahasa bagi dua tertuduh warga Myanmar.

Pada 29 Nov lepas, dilaporkan Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan arak dan pengedaran dadah, serta membongkar sebuah makmal dadah dalam tiga serbuan berasingan.

Lima lelaki ditahan termasuk individu bergelar Datuk, dipercayai menjadi dalang.

Kamarul Zaman berkata, jumlah nilai rampasan dadah, sitaan dan arak tanpa cukai kastam yang dirampas adalah sebanyak RM10.37 juta. – SM

BACA Sindiket edar dadah di Melaka tumpas

(Visited 47 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button