Jenayah

27 Rohingya dikhuatiri lemas rupanya sudah masuk Malaysia

SEBELUM ini heboh kononnya 27 etnik Rohingya yang cuba memasuki negara ini dkhuatiri mati lepas.

Ia gara-gara laporan awal daripada seorang etnik Rohingya yang ‘terselamat’ kononnya 24 orang penumpang lain dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun dari sebuah bot di Pulau Langkawi pada Sabtu, pukul 8 malam.

Bagaimanapun Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah percaya itu adalah helah terbaharu kumpulan pendatang asing tanpa izin itu untuk menyusup masuk ke dalam negara.

Selepas operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan, pihak berkuasa menjumpai seramai 13 lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan dijumpai bersembunyi di Pulau Rebak Besar pada pukul 6.15 petang semalam.

“(Awalnya) pasukan operasi mencari dan menyelamat itu gagal menemukan sebarang petunjuk atau mangsa. Pasukan operasi kemudian mendapat aduan dari seorang nelayan tempatan yang menemukan seorang lelaki etnik Rohingya di Pulau Rebak Besar, seterusnya bot Kilat Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi  berkenaan.

“Migran tersebut telah dibawa pulang ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan. Dia kemudian memaklumkan ada 26 lagi migran masih bersembunyi di pulau itu.

“Ekoran itu, Bot Kilat dan Kapal Maritim (KM) Gagah bersama aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pencarian sebelum menemukan 26 lagi migran berusia antara lima hingga 45 tahun,” kata Mohd Zawawi.

Mohd Zawawi berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut di sini hari ini.

Bernama melaporkan, semua migran seramai 28 orang itu termasuk pengadu telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan menjalani saringan awal COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Hasil siasatan awal mendapati, migran terbabit  telah terjun dari sebuah bot nelayan sebelum berenang ke pulau berkenaan.

“Kita masih menyiasat sejak bila mereka berada di pulau tersebut dan bagaimana berjaya lolos masuk ke perairan negara. Selain itu, siasatan mendapati migran ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua tekong darat atau ‘dallal’ yang ditangkap dalam operasi melibatkan lima agensi, 21 Julai lalu.

“Berkenaan modus operandi pergerakan migran ini, kita tidak menolak kemungkinan sebuah bot nelayan perlu datang untuk mengambil mereka tetapi kerana dua tekong darat itu telah ditahan menyebabkan mereka kehilangan arah menyebabkan seorang berenang menuju kawasan ‘breakwater’ (pemecah ombak) di Kuala Chenang,” katanya.

Sementara itu Mohd Zawawi melahirkan rasa kesal dengan sikap nelayan tempatan yang disyaki menjadi ‘pengangkut’  membawa masuk migran ke negara ini.

Menurutnya, siasatan mendapati modus operandi sindiket menggunakan taktik menyeludup migran daripada bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan.-SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button