Politik

22 bulan yang hambar: Pakatan Harapan belum insaf lagi?

KOMENTAR

KALAU diikutkan, perancangan Pakatan Harapan (PH), minggu ini antara esok Isnin 15 Jun sehingga Ahad depan, parti-parti bekas kerajaan ’22 bulan’ itu akan memuktamadkan keputusan mengambil alih kerajaan Pusat.

Siapapun tak pasti sejauh mana bentuk keyakinan menggunung tinggi itu mampu dicapai. Namun dalam politik ia dipanggil psywar atau perang saraf.

Meskipun perancangan untuk merampas Kerajaan Persekutuan khususnya dari segi jumlah sokongan Ahli Parlimen yang didakwa mengatasi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berlegar-legar dalam kalangan orang politik, rakyat Malaysia pastinya perlu menjadi hakim dalam isu ini.

Tanpa membincangkan soal snap election, renung-renungkanlah kita semua selama 22 bulan lepas sebelum Februari 2020 sejak mengambil alih kuasa dari kerajaan Barisan Nasional (BN) 9 Mei 2018, apa yang PH telah usahakan untuk rakyat Malaysia?

Pelanduk (lah) lupakan jerat, (tapi) jerat tak (pernah) lupakan pelanduk. Ya, orang yang suka menipu akan terlupa perbuatannya. Tetapi orang yang tertipu tidak akan lupa dan berdendam; orang yang lupakan bahaya, tetapi bahaya tidak lupakan dia.

Rakyat Malaysia pasti sudah insaf dengan gelagat tindak tanduk pemimpin-pemimpin PH ini.

Setahun mentadbir, pasaran ekuiti di Bursa Malaysia turut melemah. Di bawah PH, market capitalisation mengecil dan waktu itu pasaran Malaysia sudah kehilangan lebih RM200 bilion sejak mengambil alih. Ia sekali gus meletakkan prestasi Malaysia sebagai yang terburuk di Asia.

Dikatakan penolakan pegawai perkhidmatan awam terhadap kerajaan dulu yang berpunca dari sikap tidak menghormati perkhidmatan awam, menambah lagi luka lemahnya prestasi kerajaan PH.

Bab berjanji itu dan ini, PH nombor satu. Berjanji sakan seolah-olah mereka adalah ‘superman’ untuk selamatkan negara.

Konon mahu selesaikan masalah ekonomi, hapuskan tol, turunkan kos sara hidup dan beri kesejahteraan kepada rakyat.

Sayangnya selepas berkuasa, mereka ternyata tiada idea. Ini sehinggakan terpaksa ‘copy paste’ daripada apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelumnya.

Bahkan, ada juga buat ‘U-Turn’, yang ketara sekali `flip-flop’ nya. Macam-macam jolokan diberi. Ada menteri ‘hirup satu sudu minyak sawit merah untuk kekal muda lah. Menteri kasut, stoking hitamlah.

Ada senarai nama menteri yang dikatakan belum dapat mencapai prestasi diharapkan. Ada antaranya sering diselubungi kontroversi sepanjang melaksanakan tugas ketika itu.

Antara kesilapan besar kerajaan Pakatan Harapan selepas ambil alih ...

Mereka waktu itu kelihatan sudah hilang kepercayaan rakyat berikutan kerajaan seolah-olah tidak mempunyai keupayaan untuk merealisasikan manifesto.

Lantas mempengaruhi keputusan di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), dengan lima PRK di ambang pengakhiran kuasa kecundang apabila rakyat mula menolak calon kerajaan.

Setahun memerintah, nilai ringgit tidak bermaya. Bursa Malaysia lesu dan peningkatan kos sara hidup membebankan. Kelihatannya mereka tidak dapat merasai denyutan hati rakyat yang semakin marah.

Antara yang diperkatakan ialah dominannya fahaman sosialis dan liberal dalam pentadbiran sehingga kelihatan menghimpit fahaman penganut Islam, kedudukan orang Melayu dan institusi Raja Melayu.

Insiden seperti percubaan meretifikasi ICERD, Rome Statute, penonjolan aktiviti LGBT, diburukkan lagi dengan kenyataan menteri yang kelihatan tidak kompeten dan kurang integriti telah menghakis keyakinan rakyat.

Dari sudut ekonomi, PH dikatakan gagal memperbaikinya. Pertumbuhan KDNK kuncup dari 5.8% kepada 4.7% dan tidak menunjukkan prospek melepasi 5%.

Secara keseluruhan gabungan parti-parti di bawah PH dimomokkan sebagai tidak menjanjikan Malaysia yang lebih baik.

Pepatah Inggeris berkata, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.

Begitu juga dengan orang yang akan datang dalam politik `kacau’, lantas membuat janji-janji yang memikat nafsu rakyat.

Mereka sanggup membuat apa jua janji kerana mereka tahu mereka tidak akan dapat menubuhkan kerajaan yang akan bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu.

Harus diingat, tujuan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Tetapi jika tersalah pilih, mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya asyik untuk berkuasa sahaja.

Bak kata pepatah Barat, A people deserves the Government it gets.

Atau lebih kurang maksudnya: “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”.

Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik. Tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang buruk. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button