
200 Penerima Terima ‘Sumbangan Kasih Madani’ di Surau Mustaqimah Taman Jaya
SETIUSAHA Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan menerusi program ‘Sumbangan Kasih Madani’ kepada golongan asnaf di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya, Cheras, sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung pagi tadi itu dihadiri oleh kira-kira 200 penerima. Antara barangan keperluan yang diberikan termasuk wang tunai sebanyak RM200, selain barangan asas seperti beras, minyak masak, susu, gula, dan tepung bagi membantu penerima membuat persediaan menyambut Hari Raya.
Menurut Datuk Azman Abidin, sumbangan ini diberikan kepada golongan yang uzur dan asnaf yang layak menerima bantuan.
“Walaupun tidak semua penerima dapat hadir hari ini, kami akan memastikan bantuan ini disampaikan terus ke rumah mereka. Sehingga kini, seramai 3,000 penerima di sekitar Bandar Tun Razak telah menerima bantuan ini secara berperingkat melalui program di masjid, rumah ibadah, dan penghantaran dari rumah ke rumah,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka.