SEGELINTIR nelayan di Perlis dikesan masih menjalankan kegiatan penangkapan ikan menggunakan bubu naga. Meskipun penggunaannya telah diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 lalu namun masih ada yang berdegil dan tidak mengendahkan arahan pengharaman itu.
Tahap kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung yang cepat dan mudah antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa.
Terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis mengesan lagi kegiatan ini hasil rondaan Op Aman dan Op Benteng Laut di perairan negeri ini.
Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, sebanyak 20 set bubu naga (bubu kambang) dirampas pada kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika daripada barat perairan Pulau Ketam, Kuala Perlis sekitar pukul 4 petang, semalam.
Beliau berkata, bubu ini dikesan oleh bot peronda melalui pancang-pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan.
“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Hashim berkata, kesemua bubu naga ini dianggarkan bernilai hampir RM1,600 dan telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM