Berita

1Utama bebas Covid-19, selepas tular ke generasi enam

Kluster Utama, kluster aktif terbesar di Selangor, telah menular sampai ke lapisan enam generasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun memberi jaminan pusat membeli-belah tempat kluster itu bermula kini sudah bebas daripada virus Covid-19.

Pada sidang media harian Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham ditanya mengapa pusat beli-belah di Petaling Jaya itu boleh beroperasi semula setelah enam hari ketika tempat awam seperti pasar Bandar Lama Petaling Jaya terpaksa ditutup lebih lama setelah kes positif dikesan.

Menjawab soalan itu, Noor Hisham menjelaskan kes baru Kluster Utama dikesan di antara kontak rapat dan bukan pengunjung pusat beli-belah itu.

“Apabila anda mendapat jangkitan di pusat beli-belah, anda akan kembali ke rumah anda. Kemudian anda akan mula menjangkiti rakan anda, keluarga anda dan sebagainya.

“Jadi sekarang jangkitan itu sudah melibatkan generasi keenam, itu bukan hanya generasi pertama (kes dari pusat membeli-belah). Tetapi mereka (yang) pulang ke rumah dan kemudian menjangkiti orang lain. Ini telah menyebabkan enam generasi kes,” katanya.

“Pembersihan dan pembasmian kuman semuanya telah dilakukan. Jadi itu terjamin. Pusat beli-belah tersebut sudah dibersihkan (daripada virus itu),” katanya lagi.

Kluster Utama mencatatkan sembilan kes baru setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 194 kes. Daripada 194 kes itu, 176 adalah kes aktif yang sedang dirawat sementara 18 lagi telah pulih. Tiada kematian direkod daripada kluster tersebut setakat ini.

Ini penurunan ketara kes baru sejak lima hari lalu ketika kluster ini mencatat peningkatan 105 kes dalam tempoh 24 jam.

Kes indeks dikenal pasti sebagai pengawal keselamatan asing berusia 28 tahun yang melaporkan gejala pada 22 September tetapi hanya disahkan pada 8 Oktober.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button