Politik

Ramkarpal kesal pernah bekerjasama dengan Dr. Mahathir

Setelah sekian lama mendiamkan diri Ramkarpal Singh tampil kenyataan pedas terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyesal bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menuduh Dr. Mahathir menjadi punca kepada kegawatan politik tanah air pada masa ini.

“Saya menyesal bekerja dengan anda. Andalah sebab mengapa negara ini (dalam keadaan seperti ini) sekarang. Andalah sebab mengapa negara ini perlukan pembaharuan.

“Dan hari ini anda kata anda nak ‘selamatkan negara? Anda adalah orang terakhir yang mampu melakukannya,” katanya.

Ramkarpal mengulas cadangan oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) – yang diasaskan Dr. Mahathir menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan negara.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan dan Bersatu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun tindakan Bersatu yang menekan UMNO menyebabkan gabungan PN semakin goyah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa mendapat sokongan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu bersama-sama PKR, Amanah, Warisan dan DAP.

Dalam pada itu, Ramkarpal membangkitkan bagaimana Mahathir meletakkan jawatan pada awal tahun ini tanpa berbincang dengan pimpinan PH serta janjinya agar Anwar menggantikannya.

“Dia letak jawatan sebagai perdana menteri. Dia kata ini kerana dia dikatakan tidak lagi ada majoriti pada masa itu…Dia tidak peduli untuk berunding dengan kerajaannya atau Kabinetnya. Dia buat mengikut caranya sendiri.

“Kini dia nak jadi perdana menteri sekali lagi. Sebagai warga Malaysia saya bertanya pada diri sendiri, adakah tiada orang lain?

“Adakah kita akan lantik orang sama yang berjanji kepada negara yang dia akan serahkan baton kepada Anwar tetapi hari ini memberitahu kita dia tidak sesuai untuk negara?

“Mengapa beritahu kami jika anda pada masa itu fikir dia (Anwar) sesuai? Untuk raih undi?” soalnya lagi.

Ramkarpal juga membangkitkan tindakan lampau Dr. Mahathir, terutama ketika pertama kali menjadi perdana menteri, termasuklah penangkapan pengkritik kerajaan.

Dia juga berkata Mahathir menjanjikan sejumlah pembaharuan sebelum PRU14 tetapi kemudian berkata janji itu dibuat ketika dia tidak menjangka akan menang.

“Dulu saya percayakannya.

“Hari ini dia benar-benar mahukan kerajaan tanpa Anwar, dan ia membangkitkan persoalan: Mengapa anda berbohong pada masa lalu dengan menjanjikan jawatan (perdana menteri) kepadanya?

“Saya hormat apa yang anda lakukan pada masa lalu. Anda musnahkan sistem kehakiman, penjarakan ramai orang kerana mereka menentang anda. Masih ingat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?” katanya lagi.

(Visited 401 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button