18 premis diserbu jual minyak paket dalam talian
Tiada kompromi dengan pihak terlibat dalam penyelewengan barangan kawalan
LAPAN BELAS premis diserbu mulai 1 Julai lalu kerana disyaki menjual minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menerusi laman twitternya menyatakan, melalui usaha gempur kegiatan dagangan barang kawalan dan bersubsidi, sebanyak 38 iklan penjualan minyak masak peket serta botol, yang dipaparkan di dua platform terkenal utama pasaran dalam talian telah diarah untuk diturunkan.
Dalam serbuan yang dilakukan mulai 1 hingga 12 Julai lalu sebanyak 255 minyak masak peket 1kg dan 41 minyak botol (dalam kemasan 500gram, 1kg, 2kg dan 3kg) disita dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,495.50.
“Kes telah direkodkan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974 – Mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4,” jelas Alexander.
Katanya lagi, tindakan undang-undang akan diambil bagi sesiapa yang menyimpan apa-apa barangan kawalan selain dari premis yang dibenarkan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga yang berurusan dengan barangan bersubsidi khususnya minyak masak supaya mematuhi undang-undang sedia ada dan kementerian tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat dalam penyelewengan barangan kawalan, catat Menteri. – SM