17 terbunuh pesawat bawa pulang warga India terkandas akibat Covid-19 terhempas
SEBUAH pesawat yang membawa pulang warga India dari luar negara ekoran wabak Covid-19 tergelincir ketika mendarat sewaktu hujan lebat lalu terputus dua menyebabkan sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan 123 lagi cedera.
Kejadian berlaku di Kerala yang terletak di selatan India di mana pesawat Air India Express terbang dari Dubai dengan 190 penumpang serta anak kapal mendarat di Kozhikode yang juga dikenali sebagai Calicut pada Jumaat.
Imej televisyen menunjukkan badan pesawat itu terputus tetapi tidak ada tanda ia terbakar.
Pegawai Polis Kanan Kerala, Abdul Karim berkata, mereka yang terbunuh termasuk juruterbang dan sekurang-kurangnya 15 yang cedera itu kritikal.
“Kami ada sekurang-kurangnya 89 orang (cedera) ramai ramai cedera serius dan dihantar ke beberapa hospital di Kozhikode.
“Kami diberitahu mereka yang terselamat semuanya mengalami kecederaan,” kata seorang lagi pegawai polis, Sujith Das.
Pesawat itu membawa 174 penumpang dewasa, 10 bayi, dua juruterbang dan empat anak kapal dalam penerbangan membawa pulang warga India.
Penerbangan pesawat biasa di India dihentikan buat sementara ekoran Covid-19. Air India Express adalah anak syarikat Air India.