150 usahawan belia bumiputera dipilih ke SUPERB 2021
SERAMAI 150 usahawan belia Bumiputera seluruh Malaysia yang dipilih dari hampir 800 jumlah permohonan berjaya mara ke peringkat latihan intensif (accelerator) dalam program SUPERB 2021.
Pertandingan keusahawanan syarikat start-up SUPERB, anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Siri ke-16 yang berasaskan ‘business pitching’ bermatlamat untuk memperkasa bakat dan kebolehan belia Bumiputera melalui segmen latihan intensif accelerator selama enam minggu yang akan bermula pada 13 November ini. Para peserta yang telah melepasi peringkat saringan pertama ini dipilih berdasarkan kebolehlaksanaan dan inovasi idea perniagaan mereka yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan, berdaya tahan, berdaya saing serta mampu dibawa ke peringkat global
Pengarah Penyampaian Strategik (Ekuiti Korporat & Keusahawanan) TERAJU, Rafaiq Bakri Zakaria, berkata. program SUPERB ini dilihat sebagai satu titik permulaan penting untuk melahirkan dan menyalurkan lebih ramai usahawan belia Bumiputera berkaliber dan berintegriti yang berupaya mendukung pembangunan sosioekonomi negara secara menyeluruh ke dalam ekosistem.
“Daripada 150 idea perniagaan yang dipilih tahun ini, kebanyakannya adalah dari Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) bertemakan ekonomi digital, halal dan makanan, pelancongan, pembuatan, Kewangan Islam, pertanian dan komoditi, pertahanan dan keselamatan, pembinaan modular, logistik, pengangkutan dan kelestarian mobiliti, serta aeroangkasa. Idea-idea ini mencerminkan trend utama di kalangan masyarakat dan industri masa kini. TERAJU telah memilih idea perniagaan yang lestari dan bersifat penyelesaian kepada isu semasa serta permasalahan masyarakat, terutamanya dalam menghadapi era pandemik yang tidak menentu ini.
“Kami berharap, melalui pelbagai perniagaan, rangkaian perniagaan dan peluang pekerjaan yang berjaya dihasilkan melalui program SUPERB serta kesinambungan program lain di bawah TERAJU, ia akan menyokong aspirasi ekonomi negara yang diunjurkan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan.
“Usaha ini adalah sejajar dengan tiga Fokus Induk Bajet 2022 iaitu Rakyat Yang Sejahtera, Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ekonomi Yang Makmur dan Mampan,” tambah Rafaiq.
Para peserta yang berjaya melepasi saringan awal dan melayakkan diri ke segmen latihan accelerator ini bukan sahaja dapat memantapkan idea perniagaan dan gaya pembentangan mereka, malah mereka dapat meningkatkan pengetahuan asas keusahawanan dan selok belok dunia perniagaan, serta memupuk jati diri cemerlang sebagai seorang usahawan.
Menurut Ketua Jurulatih atau coach accelerator ini, Illyaz Yushaak, program peningkatan kapasiti accelerator yang diperkenalkan akan membantu peserta dari peringkat cetusan idea perniagaan, proses memulakan perniagaan, skil pengurusan, sehingga mengembangkan rangkaian serta memapankan perniagaan mereka.
“Sesi accelerator ini akan diadakan sepenuhnya dalam talian pada hujung minggu bagi memberikan fleksibiliti dan kesenangan kepada para peserta meneruskan urusan perniagaan atau urusan harian masing-masing. Kita akan membina kapasiti peserta-peserta dengan pengisian padat yang merangkumi pemasaran, pembinaan pangkalan data, pelancaran produk dan jualan untuk meningkatkan kebolehlaksanaan serta tahap pengkomersilan perniagaan.
“Contoh aktiviti dan sesi perkongsian yang disediakan sepanjang program adalah pemodelan perniagaan di mana cadangan nilai dan strategi pertumbuhan dinyatakan; segmen pasaran dianalisis; dan bukti permintaan dibina melalui pengesahan dan daya tarikan.
“Peserta akan mengenal pasti metrik perniagaan dan kewangan yang kritikal, selain didedahkan kepada konsep ‘bootstrapping’, kepentingan penjenamaan dan akses pasaran serantau. Ini bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan komprehensif mengenai perniagaan bermula daripada proses memulakan, menguruskan, mengembangkan rangkaian dan pada masa yang sama menstabilkan perniagaan masing-masing,” tambah Illyaz.
Sejak dilancarkan pada tahun 2014, SUPERB telah berjaya melahirkan 208 usahawan start-up Bumiputera dengan lebih dari 62 peratus produk dan perkhidmatan mereka dikomersialkan di pasaran seluruh negara dan antarabangsa.
Untuk tahun ini, SUPERB memberi penekanan kepada idea perniagaan berpaksikan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.