14 pegawai dan anggota bomba Johor Jaya diarah jalani kuarantin kendiri
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Johor, Yahya Madis memberitahu, seramai 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing bermula semalam sehingga 9 Disember nanti.
Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan susulan kes positif Covid-19 yang dikesan melibatkan seorang anggota dari balai bomba berkenaan yang mendapat jangkitan daripada ibu mertuanya yang tinggal bersamanya.
Difahamkan, jangkatan Covid-19 ini adalah daripada kluster Kobena.
Beliau berkata, setakat hari ini, tiga anggota JPBM Johor didapati positif Covid-19 mendapat jangkitan di tempat tinggal mereka.
“JBPM sentiasa menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di balai bomba dan tempat operasi.
“Setakat ini tiada anggota bomba JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, operasi di Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya masih berjalan seperti biasa dan kawasan peralatan di balai berkenaan juga disanitasi, katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, sejumlah anggota Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dipinjamkan kepada balai berkenaan untuk tuuan operasi. – SM