Keperitan hidup seorang pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mendapat perhatian universiti berkenaan apabila menghulurkan bantuan awal memulakan pengajian.
Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pihaknya
dimaklumkan bahawa Nabilah Zainuddin tidak mampu memulakan pengajian kerana masalah kewangan disebabkannya kesempitan hidup keluarganya selepas mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan di UTeM.
Menurutnya, UTeM mengambil langkah menghulurkan sumbangan awal pakej bantuan penuh bagi memulakan sesi pengajian buat Nabilah sebanyak RM914.
“Kita juga turut memberikan elaun sara hidup sebanyak RM500 sebulan bagi memudahkan urusan kehidupan pelajar ini bagi memulakan kehidupan sebagai pelajar di UTeM,” ujar Massila sewaktu menziarahi keluarga Nabilah di Alai, Melaka, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Pengarah Pejabat komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC), Datin Ts Nurazlina Md. Sanusi dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Prof Ir Dr. Hambali Arep@Ariff.
Massila berkata, pembiayaan itu menerusi Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah pakej Anak Emas UTeM dalam kategori pelajar susah namun mempunyai latar pendidikan yang cemerlang.
Katanya, bapa Nabilah, Zainuddin Hassan, 54, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak dapat bekerja kerana baru menjalani pembedahan jantung manakala ibunya Siti noormasurah Ahmad, 49, bekerja sebagai pembantu kantin.
“Sejak bapanya tidak bekerja, ibu pelajar ini menanggung membiayai keluarga dan apabila Nabilah diterima melanjutkan pelajaran ke UTeM, keluarganya tidak mampu membiayai kemasukan itu,” ujarnya.
Katanya, berteraskan kepada sikap prihatin dan cakna berterusaan maka UTeM telah menghulurkan bantuan awal kepada Nabilah bagi memulakan pengajian sebagai pelajar baharu di UTeM.
Sementara itu Zaindudin ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan
penghargaan tinggi kepada UTeM kerana mengambil berat serta membantu merealisasikan cita-cita anaknya melanjutkan pengajian.
“Saya ucap terima kasih dan menyanjung tinggi usaha UTeM membiayai kemasukan anak saya serta kunjungan mereka menziarah saya sekeluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu Nabilah turut berterima kasih kepada pihak UTeM yang telah memberikan sinar dan harapan baharu kepadanya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan pembuatan yang menjadi cita-citanya.
“Memang menjadi cita-cita saya untuk menyambung pengajian di UTeM dan dengan pendidikan tinggi saya berharap dapat membangunkan diri saya menjadi lebih baik dan dapat membantu ekonomi keluarga saya nanti.
“Kesusahan hidup keluarga saya membakar semangat saya untuk menjadi pelajar yang berjaya nanti,” ujarnya.
Nabilah mendaftar secara rasmi dan memulakan pengajian semester satu di UTeM hari ini (Isnin) di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka. – SM