NasionalParlimen

12,800 doktor kontrak akan diserap dalam tempoh tiga tahun

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan komited menyerap seramai 12,800 doktor kontrak yang tamat housemanship sebagai lantikan tetap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau juga berkata, langkah itu bermula dengan menyerap hampir 4,300 pegawai kontrak sebagai lantikan tetap tahun ini.

Katanya lagi, baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dan dianggar melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak ialah 20,330.

“Walaupun pelantikan tetap doktor kontrak ini dibuat, pada masa sama KKM (Kementerian Kesihatan) akan terus membuat pelantikan kontrak bagi tujuan housemanship yang turut memberi implikasi kepada peningkatan kos emolumen KKM saban tahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan jika semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap, seterusnya dilantik secara tetap.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan memahami isu lantikan pegawai kesihatan kontrak sudah lama berlarutan.

Beliau memberi jaminan ia akan ditangani sebaiknya dengan mengambil kira bilangan dan implikasi kewangan yang terlibat.

Katanya, kerajaan juga mengambil pendekatan menyelesaikan isu itu secara berperingkat.

“Ini termasuk menambah baik peluang latihan kepakaran dan garis panduan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, kecoh apabila 8,000 doktor kontrak dikatakan akan mengadakan mogok selama tiga hari kerana isu yang tidak diselesaikan. – SM

BACA Mogok doktor: Ingat sumpah ketika mulakan kerjaya

BACA PAUTAN BERKAITAN HDK tak campur mogok 8,000 doktor kontrak, gesa dimasukkan dalam jawatankuasa

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button