Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Muhammad Ridzuan Abu Yazid memberi peringatan kepada rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Thailand supaya membeli insurans berkaitan perlindungan diri sebagai pelancong.
Beliau berkata, ia juga termasuk insurans wajib, insurans sukarela dan insurans perjalanan yang ditawarkan sebagai persediaan awal juka berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini semasa berada di negara berkenaan.
“Umpamanya jika terpaksa dimasukkan ke wad disebabkan kemalangan, sakit secara tiba-tiba serta jangkitan Covid-19 dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, insurans ini penting kerana kos rawatan di hospital swasta di Thailand mencecah beberapa kali ganda lebih tinggi dari Malaysia.
Sehubungan itu katanya, jika ini berlaku maka pemegang insurans akan mendapat perlindungan yang sewajar dan tidak membebankan.
Demikian dimaklumkan Konsul Jeneral Malaysia itu selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail yang berkenan berangkat menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada dua masjid di wilayah Songkhla, Thailand berjumlah RM1,000 setiap sebuah baru-baru ini.
Persinggahan pertama ialah di Masjid Asasul Islam di mana Baginda disambut oleh Datuk Bandar Songkhla, Wanchai Parinyasiri, Timbalan Datuk Bandar, Wichakorn Buehom dan juga para pegawai masjid tersebut.
Masjid kedua pula ialah di Masjid Assalam yang mana wakilnya, Kittipong Saengbuamad mengucapkan terima kasih dan akan menggunakan duit sumbangan zakat MAIPs tersebut dengan sebaiknya.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sebelum itu, Baginda berdua berangkat tiba di Songkhla City Park berdekatan Pantai Samila bagi julung kalinya melawat Muzium Ban Nakorn Nai yang diasaskan oleh Krachang Jaruprukphan.
Ia bertujuan untuk menghidupkan semula bandar lama Songkhla dengan pameran barangan antik seperti perabot rumah, pinggan mangkuk dari zaman purba China serta potret Raja Bhumibol Adulyadej.
Baginda berdua diiringi oleh Presiden Majlis Pelancongan Songkhla, Chanin Sakarin. – SM