NegeriRencah HidupTravelUncategorized

50 pikup lama POM berkampung di Bukit Jernih

DUA hari satu malam Taman Rekreasi Bukit Jernih, Chuping, Perlis meriah dengan kehadiran 50 kenderaan jenis pikup lama.

Pemilik kenderaan ini berkampung sebagai satu keluarga besar yang datang dari hampir seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak. Perhimpunan bertemakan “PomPang” ini anjuran Pickup Oldskul Malaysia (POM).

Pemilik kenderaan pikup lama berkumpul di Bukit Jernih, Perlis.

Penganjur, Fazrul Izham Azizan, 39, berkata, setakat ini segala aktiviti kumpulan POM ini bergerak atas komitmen sesama ahli.

“Ia lebih mudah untuk penganjuran kerana sebarang aktiviti akan dibincang dalam kumpulan yang dibentuk di media sosial.

“Pertemuan kali ini juga berhasil dengan kerjasama ahli-ahli yang tinggal di Perlis,” katanya ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA, baru-baru ini.


Beliau berkata, peserta hanya dikenakan yuran RM65 dan mereka layak menerima kemeja-T, cabutan bertuah dan BBQ.

“Antara aktiviti termasuk solat jemaah, tazkirah selain pertandingan mewarna untuk anak-anak bagi mengeratkan ukhwah sesama kami sebagai satu keluarga besar,” ujarnya.

Fazrul Izham berkata, pihaknya juga turut menyediakan laksa sebagai juadah untuk dinikmati peserta sebagai usaha mempromosi makanan Perlis.

Hamidon bersama Mazda UTE 1000 yang menempuh perjalanan lebih 700 kilometer iaitu dari Melaka ke Perlis.

Salah seorang peserta, Hamidon Ismai, 41, dari Sungai Rambai, Melaka berkata, beliau sanggup bergerak dengan Mazda UTE 1000 keluaran 1974 sejauh 700 kilometer untuk sama-sama menyertai perhimpunan POM.

“Ini kali pertama pikup ini dan paling jauh bergerak. Alhamdulillah perjalanan berjalan dengan lancar,” katanya yang meminati kenderaan lama dan dijadikan sebagai koleksi.

Kata Hamidon, beliau membeli kereta ini dengan harga RM7,000.

“Tetapi banyaklah juga berhabis untuk memastikan enjinnya dalam keadaan elok ditambah dengan aksesori,” akui beliau.

Abdul Hanan membawa keluarga untuk perhimpunan POM.

Seorang lagi peserta, Abdul Hanan Saad, 38, dari Mata Ayer menzahirkan rasa puas hati kerana buat pertama kalinya,  dapat menyertai perhimpunan POM ini.

Beliau mengakui menghabiskan RM9,000 untuk pikup Datsun 620 yang telah dibeli lima tahun lalu dengan harga RM10,000.

Katanya, setakat ini pikupnya itu bergerak paling jauh ialah ke Pulau Pinang.

“Selepas ini, saya berharap dapat pula merealisasikan perjalanan ke Melaka pada perhimpunan POM tahun depan. – SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button