NasionalNegeri

RM7,000 boleh bawa masuk etnik Rohingya, urus kad UNHCR

JABATAN Imigresen (JIM) mengesan etnik Rohingya warga Myanmar masuk ke Malaysia menggunakan ejen yang turut menguruskan proses mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, beberapa pemegang kad UNHCR warga Rohingya mengaku ejen menguruskan kemasukan mereka dengan bayaran mencecah RM7,000.

“Mereka juga mengaku ejen-ejen terbabit menguruskan perjalanan ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk proses mendapatkan kad itu. Perkara ini akan diteliti secara lebih mendalam oleh jawatankuasa di KDN.

“Mereka bukan beli (kad UNHCR), tapi mereka bayar ejen antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang dan ejen itu akan bawa ke pejabat UNHCR.

“Pemahaman mereka kad itu dibeli, tapi sebenarnya mereka membayar kepada ejen dalam menguruskan kemasukan mereka,” katanya dipetik Bernama selepas operasi JIM di sebuah tapak projek perumahan di Kubang Menerong, Tasek Gelugor, hari ini.

Terdahulu, dalam serbuan itu, 36 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan diperiksa sebelum 25 termasuk seorang wanita ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan dokumen meragukan.

Katanya, mereka terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, lapan lelaki Indonesia, lima lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Nepal.

“Semua warga asing itu dibawa ke depoh tahanan untuk siasatan lebih lanjut kerana ada kalangan mereka menggunakan dokumen meragukan khususnya pemegang kad UNHCR yang disyaki tidak tulen,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi itu merupakan yang ke-261 dijayakan JIM Pulau Pinang sepanjang tahun ini dan 193 warga asing bersama 32 majikan ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh tersebut.

Walaupun jumlah pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu tidak ramai berbanding jumlah operasi dijalankan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button